Gambar Hiasan: Silo |
KUALA LUMPUR – Kebakaran dilaporkan berlaku di salah satu daripada
silo (kapal penyimpanan produk perantaraan) di Petronas Chemicals LDPE
Sdn. Bhd (PC LDPE) di Kertih kira-kira jam 5 petang semalam.
Menurut Ketua Perhubungan Media, Petronas Chemicals Group Berhad,
Ahmad Faiz Abdul Rahman, kebakaran terhad kepada PC LDPE dan tidak
memberi kesan kepada pengeluaran di kilang PCG yang lain.
“Kebakaran bejaya dikawal dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan
dilaporkan. Semua pihak berkuasa berkaitan telah dimaklumkan mengenai
insiden itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ahmad Faiz berkata tiada ancaman serta merta kepada kakitangan di lokasi kejadian atau masyarakat sekeliling.
Siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerosakan ke atas hartabenda, kata beliau.
Sementara itu, Pegawai Zon 2, Jabatan Bomba Dan Penyelamat
Terengganu, Azmi Abdul Rahim ketika dihubungi Bernama berkata sejurus
menerima panggilan mengenai kebakaran berkenaan, pihaknya menghantar
sebanyak 35 anggota termasuk unit Hazmat bersama tiga jentera bomba ke
tempat kejadian.
Katanya sehingga jam 9 malam tadi pihaknya telah berjaya mengawal dan
memadam api berkenaan namun masih ada tindak balas daripada bahan yang
terbakar tersebut.
“Kita masih menjalankan operasi pemadaman dan penyejukan bagi
mengelakkan bahan-bahan kimia yang diproses tersebut kembali aktif dan
menyebabkan kebakaran lagi,” katanya.
Beliau berkata pihak pengurusan kilang tersebut telah berjaya menutup
injap paip yang terbakar bagi mengawal api dari merebak ke kawasan yang
lain. – BERNAMA