Sistem biometrik |
KUALA LUMPUR – Tatkala berhadapan dengan kebanjiran pelarian etnik
Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan di Myanmar baru-baru
ini, Malaysia mendapati ia tersepit dalam keadaan berhadapan krisis
kemanusiaan dan pelbagai risiko permasalahan sosial dan keselamatan
sekiranya pemohon suaka dibenarkan membanjiri negara ini.
Pada masa sama, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(UNHCR) bagi Pelarian di Malaysia giat mencari penyelesaian yang boleh
melindungi kepentingan negara tuan rumah, selain menjamin hak-hak
pelarian terbabit supaya mereka boleh hidup dengan bermaruah sementara
menanti penempatan semula di negara lain.
Menurut laporan media, sejumlah 153,004 pelarian berdaftar dengan
UNHCR sehingga Mei tahun ini, dan 93 peratus daripadanya adalah dari
Myanmar.
Bagaimanapun, menurut agensi itu, “puluhan ribu” pemohon suaka lain
yang tidak berdaftar pula berkeliaran di merata tempat dan mereka inilah
yang bakal terlibat dengan pelbagai jenayah atau dieksploitasi dalam
pemerdagangan manusia.
Wakil UNHCR ke Malaysia Richard Towle berkata agensi berkenaan sedang
mempertimbangkan untuk memperkenalkan penggunaan kad pengenalan
berteknologi tinggi dengan ciri-ciri keselamatan biometrik kepada
kesemua pelarian agar kerajaan boleh memantau mereka.
“Kami sudah mencadangkannya kepada kerajaan Malaysia dan perkara ini
sedang di peringkat perbincangan,” katanya ketika ditemu bual Bernama,
baru-baru ini.
Menegaskan bahawa hanya UNHCR yang terlibat dalam usaha mendaftar
pelarian pada masa ini, Towle berkata agensi itu boleh bekerjasama
dengan kerajaan untuk melaksanakan satu sistem pendaftaran komprehensif
bagi mengenal pasti antara pelarian sebenar dan migran ekonomi.
“Kami ingin bekerjasama lebih rapat dengan kerajaan (berhubung
pendaftaran pelarian) kerana dengan itu, kita boleh membanteras isu-isu
penyeludupan dan jenayah (berkaitan pelarian) dengan lebih berkesan.
“Sekiranya kita boleh mengeluarkan kad pengenalan berteknologi tinggi
yang dilengkapi ciri-ciri biometrik dan jika diperakui sesuai oleh
kerajaan, kita akan dapat mengawal perbuatan jenayah dan eksploitasi,”
katanya.
Pada masa ini, UNHCR mengeluarkan kad pengenalan standard kepada
pelarian yang berdaftar dengannya. Kad ini, menurut Towle, mempunyai
“nilai komersial yang tinggi” tetapi “tidak ada nilai sah” di Malaysia.
“Ia mempunyai nilai komersial yang tinggi kerana kad ini telah
membantu ribuan pelarian untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor tidak
rasmi, terutamanya di Lembah Klang, dan hakikatnya mereka menyumbang
kepada ekonomi negara.
“Walaupun kad pengenalan itu tidak mempunyai nilai komersial,
sekurang-kurangnya ia diperakui oleh agensi penguatkuasaan dan
mengurangkan risiko kemungkinan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu ditahan atau dipenjarakan,” katanya.
Pendokumentasian biometrik ini apabila diluluskan oleh kerajaan, akan
membantu “mengesahkan” status golongan pelarian di Malaysia dan UNHCR
percaya ia merupakan situasi menang-menang bagi kedua-dua negara dan
pelarian berkenaan.
Bahkan ia memberi tiga “kemenangan”.
Pertamanya, pelarian akan dapat
mencari pekerjaan yang sesuai dalam tempoh mereka tinggal di Malaysia
dan mampu diri, tanpa perlu terlibat dengan aktiviti-aktiviti jenayah.
Keduanya, majikan boleh memilih pekerja yang mempunyai kepakaran serta
berkelulusan di kalangan pelarian terlibat, dengan itu mengurangkan
peluang mereka dieksploitasi.
Akhirnya yang ketiga, dengan kemampuan
memantau keberadaan pelarian berkenaan, kerajaan boleh memantau
aktiviti-aktiviti jenayah yang melibatkan mereka.
“Cabaran besar bagi kerajaan pada abad 21 ini adalah kerana terpaksa
berhadapan dengan ancaman keselamatan dan jenayah terancang antarabangsa
yang melibatkan sindiket pemerdagangan manusia. Atas sebab itulah kami
mencadangkan
sistem pendaftaran sewajarnya (dan pendokumentasian biometrik) untuk pelarian bagi mengurus dan mengawal situasi pelarian dengan lebih berkesan,” jelas Towle.
Pada bulan lepas, pihak berkuasa Malaysia membongkar beberapa buah
kubur besar dan kem-kem yang disyaki digunakan untuk tujuan
pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis, di sepanjang sempadan
Malaysia-Thai. Sehingga 22 Jun, sejumlah 106 mayat yang dipercayai
mangsa pemerdagangan manusia dari Bangladesh dan Rohingya dijumpai.
Berhubung sama ada Malaysia terpaksa menanggung beban kewangan
tambahan sekiranya langkah-langkah mengesahkan status pelarian
dilakukan, Towle memberi jaminan bahawa ia tidak melibatkan kos bagi
kerajaan kerana “kesemua bantuan yang diberikan kepada pelarian di
negara ini akan ditanggung oleh UNHCR dan badan-badan bukan kerajaan
(NGO)”.
Tambah beliau, baru-baru ini UNHCR telah mengambil polisi insuran
penjagaan kesihatan bagi membolehkan pelarian mendapatkan rawatan di
hospital-hospital swasta pada kadar yang lebih rendah.
Ditanya adakah pelbagai masalah serta isu-isu hak-hak kemanusiaan,
yang berkaitan pelarian akan dapat diselesaikan jika Malaysia
menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Berkaitan
Status pelarian 1951, Towle berkata:
“Tidak semestinya. Kesemua urusan
ini (pendaftaran sah pelarian dan pengeluaran kad pengenalan biometrik)
boleh dilakukan oleh kerajaan di peringkat kebangsaan tanpa perlu
menandatangani konvensyen berkenaan.
“Terdapat banyak arahan, peraturan, malah undang-undang domestik yang
boleh diluluskan untuk mengendalikan hal berkaitan pelarian… dan
kesemua ini tidak perlu menandatangani sebarang konvensyen.”
Baru-baru ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) meminta
kerajaan supaya menandatangani Konvensyen Bangsa-bangsa Bersatu 1951
bagi memudahkan urusan menangani isu-isu hak kemanusiaan dan pelarian.
Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, bagaimanapun,
menegaskan bahawa Malaysia tidak bercadang untuk menjadi ‘negara pihak’
bagi konvensyen itu memandangkan ia perlu mengkaji “secara mendalam
kesan dan implikasi penyertaannya dalam mana-mana instrumen
antarabangsa.” – BERNAMA