Gambar Hiasan |
Sisters In Islam ataupun turut dikenali dengan SIS, sekali lagi mencetuskan sensasi dalam ‘fatwa’ Islam yang didedahkannya.
Melalui ruangan Facebook beberapa hari lalu, SIS memuat naik satu
status yang berpaksikan kepada ‘fakta’ bahawa rambut bukanlah aurat bagi
seorang wanita dan cuba mengubah persepsi dengan soalan tentang
kemungkinan ia satu budaya.
Bagi mengukuhkan kenyataannya, NGO tersebut turut memuat naik dua
keping gambar yang memaparkan bahan rujukan mereka iaitu sebuah kitab
hasil tulisan Syeikh Muhammad Thahir Ibn Asyur.
Namun demikian, ideologi songsang yang
dibawa kumpulan feminisme tersebut dibidas sebuah NGO Islam terkenal
menerusi kenyataan daripada Pegawai Penyelidik Majlis Ulama ISMA
(MUIS), Ustaz Muhammad Firdaus Zailani.
Ujarnya, bahagian kepala termasuk rambut
sememangnya diwajibkan untuk ditutup kerana ia merupakan sebahagian
daripada aurat serta sudah jelas sejak sekian lama, malah banyak dalil
ayat Al-Quran serta hadis yang menyentuh mengenainya.
"Bukalah mana-mana kitab ulama silam jelas menunjukkan persepakatan mereka bahawa menutup aurat adalah wajib.
"Perselisihan yang berlaku hanya dalam sekitar muka, tapak
tangan dan kaki, selain daripada itu mereka sepakat akan pengharamannya.
"Yang jelas, sumber hukum aurat rambut meliputi ketiga-tiga sumber pengsyariatan iaitu Al-Quran, As-Sunnah dan Ijma," kata Firdaus yang dipetik dari laman ismaweb.
Selain itu, Firdaus turut mengkritik tindakan penyelidik SIS, Afiq M
Noor yang menggunakan hujah Syeikh Albani dan Syeikh Thariq Iwadullah
untuk membuktikan fakta mereka serta menyifatkan ia sebagai tidak jujur
dalam percubaan untuk menolak hukum aurat berkenaan.
Bahkan, ia turut dilihat sebagai satu tindakan untuk menjatuhkan
kredibiliti para ulama kerana kedua-dua ulama berkenaan membincangkan
mengenai perkara yang menjadi pertikaian sesetengah ulama iaitu tentang
aurat muka dan tapak tangan, bukanlah aurat rambut kerana ia sememangnya
sudah terang lagi bersuluh.
“Kalaulah benar mereka pendukung Al-Quran tak mungkin mereka
akan pertikaikan hak perwarisan isteri, anak perempuan dan lain-lain
kerana Al-Quran menyebut dalar masalah ini satu persatu” kata Ustaz Muhammmad Firdaus.
Lantas, beliau berkata, seseorang yang ingin memahami Islam yang
sebenar haruslah merujuk kepada individu yang memperjuangkan Islam,
bukanlah pihak yang hanya ingin memuaskan kehendak nafsu sendiri.
“Tindakan ini tidak ubah seperti tindakan Bani Israel yang
beriman sebahagian daripada kitab Taurat apabila ia selari dengan
kehendak mereka serta merahsiakan sebahagian lain akibat tidak selari
dengan kehendak hawa nafsu. Waspadalah dengan mereka,” bidasnya tegas. -Kedahnews.com