Azmi bersama produk IKS yang diperagakan di Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana Peringkat Negeri Kedah. |
ALOR SETAR - Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) benar-benar telah berjaya mendidik dan merubah nasib perniagaan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) mencapai potensi dan harapan untuk lebih maju.
Salah seorang peserta SME Corp, Azmi Mahmad berkata, dia hanya memulakan perniagaan kecil-kecilan di kampungnya dengan pulangan yang kurang memberansangkan sebelum menyertai salah satu program di bawah agensi tersebut.
Azmi berkata, pembabitan dengan agensi berkenaan telah membantunya dengan ilmu pengetahuan dan selok-belok perniagaan, selain mengkaji, menganalisa dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh perniagaan IKS yang diceburi.
"SME Corp telah banyak membantu saya dari menjalankan perniagaan kampung kepada satu perniagaan yang mempunyai potensi untuk lebih maju pada masa depan.
"Berdasarkan pengalaman saya sejak bersama SME Corp... SME Corp memang hebat, memang sebuah agensi yang betul-betul membantu usahawan bumiputera, khususnya orang Melayu," katanya ketika ditemui di majlis Perasmian Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Peringkat Negeri Kedah, di sini hari ini.
Yusri KRU dan isterinya, Lisa Surihani pernah "pekena" mee rebus Azmi |
Menurut Azmi yang menjalankan perniagaannya di hadapan premis MADA di Guar Sanji, Arau, Perlis, berdasarkan kajian SME Corp selama seminggu di premis perniagaannya berhubung kelemahan dan masalah yang dihadapi serta seterusnya mengemukakan beberapa cadangan untuk menyelesaikan halangan-halangan untuk memajukan perniagaan tersebut.
Bertindak sebagaimana yang dinasihatkan SME Corp berkenaan, Azmi telah mengubah perjalanan perniagaannya dengan lebih sistematik, menguruskan kewangan syarikat dengan baik, memilih lokasi yang lebih strategik dan cuba sedaya upaya mempromosikan produk IKSnya.
Berterima kasih atas bantuan dari SME Corp, Azmi turut mengajak seluruh usahawan IKS sepertinya untuk mendapatkan pelbagai bantuan dari agensi berkenaan bagi sama-sama memajukan perniagaan IKS masing-masing.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Isham Ishak pula berkata, pihaknya sentiasa berusaha mencari jalan dan kaedah yang lebih berkesan untuk membantu memajukan pernigaan IKS di kalangan usahawan, khususnya di luar bandar.
Katanya, SME Corp memberikan tumpuan istimewa terhadap usahawan desa melalui pelbagai bantuan sama ada berbentuk pinjaman kewangan, geran, pengurusan, strategi perniagaan, pemasaran produk dan banyak lagi.
Isham bersama Mukhriz di majlis simbolik perasmian Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Peringkat Negeri Kedah |
Isham memberikan satu contoh perniagaan IKS di Kelantan yangmengusahakan produk madu kelulut di mana pihak SME Corp telah membantu usahawan desa tersebut dengan imej produk baru di mana ia lebih meyakinkan pengguna, khususnya dari sudut pemasaran.
"Mereka (usahawan IKS desa) mempunyai produk-produk yang baik.
"Saya baru balik dari Kelantan, ada usahawan tu mengusahakan madu kelulut. Jadi kita beri bantuan kepadanya melalui imej pembotolan baru dan penglabelan baru memandangkan sebelum ini dia hanya memasarkan produk menggunakan botol kicap sahaja," jelasnya.
Justeru itu, Isham menjemput seluruh usahawan desa di kawasan luar bandar untuk mengambil peluang yang ditawarkan menerusi pelbagai program bantuan yang ditawarkan SME Corp di seluruh negara.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir pula berkata, pihak Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan usahawan desa untuk mencebur diri dalam sektor IKS di mana ia dapat memperbanyakkan lagi produk negeri Kedah, khususnya produk berasaskan makanan.
Kata beliau, Kerajaan Negeri memberikan fokus kepada sektor pelaburan dan usahawan IKS di luar bandar perlu mengambil peluang tersebut dengan mendapatkan teknologi-teknologi terkini bagi meningkatkan hasil dan mutu kualiti produk yang diusahakan, sekaligus memperlihatkan potensi untuk berkembang lebih maju.