"SMS Saya Jika Ada Masalah", Pesan Jokowi Pada 250 Juta Rakyat Indonesia

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) semalam memberikan nombor telefon bimbitnya kepada seluruh rakyat di negara itu bagi memudahkan mereka membuat aduan sekiranya mereka tidak menerima layanan baik oleh agensi kerajaan.

Malah Jokowi sempat berpesan pada rakyat Indonesia yang berjumlah lebih 250 juta orang itu supaya melaporkan pada gabenor atau menteri berkaitan jika tidak menerima layanan yang baik dari kakitangan atau pegawai kerajaan.

“Sekiranya anda menerima layanan kurang baik, sila laporkan kepada gabenor atau menteri, tetapi kalau tiada sebarang tindakan beritahu saya.

“Ini nombor telefon saya 0812 2600 960, sekiranya ada sebarang masalah sila hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) sahaja,” katanya yang dipetik dari media negara jiran itu.

Jokowi dilapor telah mendedahkan nombor telefonnya itu ketika mengedarkan kad pintar kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan di Jakarta.

Dalam majlis berkenaan, Presiden Indonesia itu meminta orang ramai membuat aduan sekiranya tidak berpuas hati dengan layanan agensi kerajaan seperti di bahagian kesihatan, pendidikan atau agensi lain.

“Tolong SMS untuk beritahu saya sekiranya layanan agensi kerajaan ini bermasalah,” katanya lagi.

Jokowi yang turut menyambut ulang tahun kelahiran ke-54 semalam juga dikatakan telah memuat naik satu pesanan di akaun laman sosial Twitternya, @jokowi, yang sudah lama tidak aktif.

Dalam pesanan itu beliau meminta rakyat Indonesia memberi pandangan atau maklum balas sekiranya ada perkara yang kurang diberi perhatian oleh kerajaan.

“Saya memang cukup lama tidak aktif di Twitter. Di bulan suci Ramadan ini saya mendapat inspirasi untuk aktif kembali.

“Selain menyampaikan maklumat kegiatan dan cadangan, saya juga mahu mendapatkan pelbagai persoalan daripada rakyat yang mungkin hilang daripada perhatian kerajaan,” jelas beliau. -Kedahnews.com