Suami Pijak Perut Isteri Sebab Buang Air Ketum Miliknya Di Alor Setar

Gambar Hiasan
ALOR SETAR - Tindakan seorang wanita membuang bungkusan air ketum milik suaminya mengundang padah apabila lelaki itu mengamuk dan membelasahnya di kediaman mereka di Kepala Batas, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 pagi, mangsa berusia 31 tahun yang tidak tahan dengan sikap suaminya kerana ketagih dengan minuman itu bertindak membuangnya tanpa pengetahuan lelaki terbabit.

Sumber berkata, kejadian berlaku apabila lelaki berusia 30-an itu yang terjaga daripada tidur menyedari air ketum miliknya sudah tiada sebelum bertanya kepada mangsa.

“Lelaki itu kemudian mengamuk dan menghamburkan kata-kata kesat kepada isterinya selepas mengetahui mangsa membuang minuman itu. Tidak cukup dengan itu, dia turut bertindak memijak perut mangsa dan membelasahnya selama beberapa minit,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang kesakitan merayu dilepaskan, namun tidak diendahkan suspek yang terus memukulnya.

“Selepas puas membelasah isterinya, suspek terus keluar dari rumah tanpa mempedulikan mangsa yang lebam di kepala dan badan. Bimbang kejadian sama berulang, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kota Setar, semalam (kelmarin), untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sumber: myMetro