SubhanAllah..! Hebatnya Mukjizat Nabi Sulaiman

ANDA pernah menonton filem fiksyen Dr. Dollitle lakonan Eddy Murphy? Filem itu mengkhayalkan watak Dr. Dollitle yang dianugerahkan kemampuan memahami bahasa haiwan. Pastinya itu sekadar fiksyen yang dikhayalkan manusia. Persoalannya, adakah manusia benar-benar mampu memahami bahasa haiwan? Yang pasti, ia adalah mukjizat khusus Nabi Sulaiman as

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: “Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung dan kami telah diberikan serba sedikit daripada tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (daripada Allah) yang jelas nyata." (al-Naml: 16)
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya membawa riwayat Isra’iliyyat yang panjang menceritakan bagaimana Nabi Sulaiman as menterjemahkan kicau dan bunyi beberapa ekor burung kepada rakyatnya (Tafsir al-Qurtubi). 

Saya agak terkejut ketika meneliti tafsir ayat ini kerana terdapat beberapa riwayat yang seakan menyebut Nabi Muhammad SAW juga memiliki kemampuan memahami bahasa haiwan.

Dalam sebuah musafir baginda, para sahabatnya mengambil seekor anak burung daripada ibunya. Setelah baginda SAW pulang daripada urusannya, baginda melihat si ibu burung melompat-lompat sambil mengembangkan sayapnya.

Rasulullah SAW lalu menegur para sahabatnya yang bermaksud: Siapakah yang mengejutkan (si ibu burung) ini dengan (merampas) anaknya. Kembalikan anaknya kepada ibunya. (Sunan Abu Dawud)

Dalam sebuah hadis lain disebut, baginda SAW masuk ke dalam sebuah kebun seorang lelaki Ansar. Baginda didatangi seekor unta yang merengek dan mengalir air matanya. Baginda menyapu kepala unta lalu ia mulai diam. Selepas itu baginda memanggil pemilik unta itu lalu berkata: 
"Mengapakah kamu tidak takutkan Allah pada (amanah) binatang ini yang Allah jadikan kamu pemilikinya. Sesungguhnya ia (unta) “Mengadu padaku yang engkau selalu melapar dan meletihkannya (memaksanya kerja lebih).” (Sunan Abu Dawud)

Kagum

Kita juga seakan kagum dengan sesetengah pakar haiwan yang seakan tahu dan mengerti kehendak sesetengah haiwan yang mereka gauli. Perhatikan firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 38 yang bermaksud:
"Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

Perkataan “umat sepertimu” seakan menunjukkan haiwan hidup dalam kerajaan tersendiri yang mempunyai struktur sosial, tabiat hidup dan “bahasa” yang digunakan untuk berinteraksi sesama mereka. Manusia yang rajin mengkaji tabiat haiwan akan mampu memahami “ke-umat-an” mereka itu.

Jika mahu disimpulkan, kemampuan memahami bahasa haiwan terbahagi kepada tiga tahap iaitu;
  • Ketika Nabi Sulaiman as mendengar bunyi burung atau haiwan, minda baginda as terbuka 100 peratus menangkap setiap patah perkataannya. Ini tahap pertama dan tertinggi yang menjadi milik khusus baginda seorang. 
  • Apabila Rasulullah SAW mendengar atau melihat tingkah laku sesetengah haiwan, Allah SWT mengilhamkan baginda SAW makna umum bahasa atau tingkah laku si haiwan. Ia juga mukjizat baginda SAW, cuma peratusannya jauh lebih rendah berbanding mukjizat Nabi Sulaiman as. 
  • Bagi manusia yang rajin mengkaji, berkampung bersama haiwan, mereka mampu memahami tabiat haiwan secara umum. Inilah tahap ketiga yang diperoleh berdasarkan pengalaman dan kajian.

Sumber: Utusan