Sudut Ilmu: Persoalan Haji Seorang Wanita

Gambar Hiasan
SETELAH selesai umrah wajib, jemaah haji wanita membayar dam Tamattu’. Kemudian dia keluar berniat ihram umrah sunat di Tana’im. Belum sempat tawaf, dia datang haid dan masih tidak suci sehingga hendak berangkat wukuf ke Arafah pada 8 Zulhijah. Bolehkah dia berniat haji dan bagaimana dengan umrah sunatnya yang belum selesai?
Jemaah haji wanita tersebut boleh berniat ihram haji pada 8 Zulhijah (Hari Tarwiyah) semasa hendak berangkat ke Arafah, dengan itu dia dianggap melaksanakan Haji Qiran. Umrah sunat yang tidak selesai itu secara tidak langsung termasuk dalam kerja haji. Dia hendaklah melaksanakan semua amalan ibadat haji. Pada hari-hari tasyrik dia wajib melontar ketiga-tiga jamarat. Dia hanya wajib melaksanakan Tawaf Ifadah/Rukun dan Sai’e Haji, setelah yakin suci darah haid dan mandi hadas.

Dia tidak perlu membayar dam Haji Qiran kerana bayaran dam Tamattu’ sebelum ini dikira sebagai dam Qiran dan tidak lagi wajib menyempurnakan umrah sunat yang terhalang sebelum ini kerana dengan amalan hajinya, umrah telah dikira sempurna.
Jemaah haji wanita memasuki Mekah dalam keadaan haid dan dia tidak berniat ihram umrah atau haji di miqat kerana beranggapan dalam keadaan haid tidak boleh berniat ihram. Apabila sampai di Mekah dan suci daripada haid dia pun berniat umrah. Adakah boleh tidak berniat di miqat dan adakah dikenakan dam. Bagaimana pula niat umrahnya itu?
Seseorang yang berniat masuk Mekah untuk mengerjakan haji atau umrah hendaklah dia berniat ihram haji atau umrah sebelum melepasi miqat, walaupun dalam keadaan haid atau nifas. Haid dan nifas tidak menghalang niat ihram.

Dalam kes di atas kalau dengan sengaja wanita haid tidak berniat ihram di miqat adalah berdosa. Dia dikenakan Dam Tertib dan Taqdir kerana tidak berniat di miqat. Dam tersebut ialah menyembelih seekor kambing atau kibas atau 1/7 daripada lembu. Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa 10 hari, tiga hari pada masa ihram haji dan tujuh hari apabila pulang ke tanah air atau bersedekah sebanyak 10 cupak makanan asasi.

Niat umrahnya di Mekah sah. Dia boleh tawaf, saie dan bergunting setelah suci daripada haid dan mandi hadas. Apabila selesai kerja umrah dia boleh bayar dam Tamattu’.
Datang haid selepas tawaf rukun. Sebelum suci haid dia hendak pulang ke Malaysia. Apakah dia wajib Tawaf Wada’?
Wanita haid tidak wajib Tawaf Wada’ dan tidak dikenakan dam. Ini berdasarkan hadis Ibnu Abbas r.a berkata: Umat Islam telah diperintahkan agar menjadikan akhir urusan mereka adalah di Kaabah, kecuali wanita haid diberi keringanan. (riwayat Muslim)
Berwangian sebelum berniat ihram?
Wanita boleh memakai wangian sebelum berniat ihram dengan syarat baunya tidak keterlaluan.

Selepas berihram tidak boleh memakai wangian, sama ada di pakaian atau badan sebagaimana hadis riwayat Ibnu Umar Rasulullah bersabda: Semasa dalam ihram kamu tidak boleh memakai pakaian yang disapu wangian zaafaran atau waras. (riwayat Muslim)
Bilakah keputihan atau angin atau air kencing dikira sebagai daimul hadath (sentiasa berhadas). Bagaimana cara berwuduk?
Daimul Hadath bermaksud sentiasa berhadas sehingga tidak sempat selesaikan satu solat atau satu pusingan tawaf dengan wuduk yang telah diambil.

Jika jemaah haji wanita yang keluar keputihan atau angin atau kencing berada di dalam situasi sedemikian, maka dia dikategori mengalami daimul hadath.

Contoh, jika dia masih sempat untuk menghabiskan satu solat dengan wuduk tersebut tanpa keluar keputihan atau angin atau sempat tawaf dua pusingan maka dia bukanlah dikategorikan sebagai daimul hadath.
Cara berwuduk:
Berwuduk setelah masuk waktu solat.

Basuh najis keputihan/kencing dan pakai tuala wanita atau panty liner.

Wuduk hanya sah untuk satu solat fardu atau tawaf fardu dan beberapa solat sunat.

Hendaklah muwwalat antara wuduk dengan pelaksanaan ibadat.

Cara berwuduk tersebut berdasarkan hadis Rasulullah kepada Fatimah binti Hubaisy yang mengalami istihadah Baginda berkata:
 
“Mandilah dan berwuduklah setiap solat fardu.”
Kadar uruf masa (muwwalat antara wuduk dengan pelaksanaan ibadat) bagi jemaah yang berwuduk menggunakan kaedah daimul hadath iaitu bermula dari selepas jemaah mengambil wuduk di hotel sehingga sampai ke dataran masjid mestilah kurang dari 15 minit perjalanan.

Jika lebih, maka terputus muwwalat antara wuduk dan amal ibadat yang akan dilakukan. Oleh itu, jemaah wajib bersuci dan mengambil wuduk semula sebelum memulakan ibadat berkaitan.

Jemaah haji dalam keadaan daimul hadath yang telah sampai di dataran masjid atau berada dalam masjid dan terpaksa menunggu imam untuk iqamah dan menunaikan solat tidak perlu berwuduk semula.

Tempoh menunggu untuk solat tidak dikira memutuskan muwwalat jemaah itu. Ini kerana ia telah berada dalam waktu solat dan perbuatan menunggu termasuk dalam perkara yang berkaitan maslahah solat.
Wanita itu datang haid semasa tawaf umrah dalam pusingan kedua, haidnya tidak suci hingga hari Tarwiyah 8 Zulhijah. Semua rakan sebilik bersiap untuk berangkat ke Arafah. Apakah dia boleh berniat haji dan bagaimana dengan umrahnya yang tidak selesai itu?
Sekiranya haid wanita ini tidak suci sehingga masa hendak berangkat melakukan wuquf di Arafah, bererti ibadat umrahnya belum selesai. Dalam situasi sebegini wanita tersebut tidak perlu merasa cemas, kerana dalam isu ini ada dua pendapat mazhab.

Mazhab Syafie berpendapat wanita tersebut tidak boleh memasukkan sekali niat hajinya ke dalam umrah yang belum selesai itu. Ini bermakna wanita terbabit tidak dapat melakukan ibadat haji pada tahun itu.

Mazhab Maliki wanita terbabit masih boleh memasukkan niat hajinya ke dalam umrah yang belum selesai itu selagi dia belum mengakhiri tawafnya dengan melakukan solat sunat tawaf dua rakaat. Dengan masukkan niat hajinya ke dalam umrah yang belum selesai, hajinya telah bertukar menjadi Haji Qiran dan dikenakan membayar dam Haji Qiran.

Oleh itu bagi wanita yang mengalami keadaan seperti ini dinasihati supaya bertaklid dengan mazhab Maliki. Selain, ia adalah satu rahmat besar kepada jemaah haji wanita yang mengalami keadaan seperti ini.

Sumber: Utusan