Sukan SEA Ke-28, Singapura |
SINGAPURA – Sukan SEA Ke-28 melabuhkan
tirainya petang Selasa dan bendera rasmi kejohanan sukan dwitahunan
tersebut bakal diserahkan kepada Malaysia selaku tuan rumah edisi ke-29
pada 2017 kelak.
Menteri Belia dan Sukan Malaysia,
Khairy Jamaluddin Abu Bakar mewakili hos akan datang menerima bendera
temasya terbesar rantau Asia tenggara itu dari Presiden Majlis Olimpik
Kebangsaan Singapura, Tan Chuan-Jin.
Sukan SEA seterusnya dijadual diadakan di
Malaysia, iaitu buat kali keenam negara tersebut menjadi tuan rumah
selepas 1965, 1971, 1977 dan 1989 dan 2001; malahan pada 2017, ia
dijangka mencipta dua sejarah baharu.
Pertama, jika pelan Malaysia diluluskan kelak,
Sukan SEA 2017 akan muncul sebagai yang pertama diadakan di dua lokasi
berjauhan – iaitu sekitar Kuala Lumpur serta buat julung kali melibatkan
Sabah dan Sarawak.
Kedua, sukan lazim musim sejuk seperti acara
luncur ais dan hoki ais mungkin ditampilkan buat kali pertamanya, jelas
Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2017, Datuk
Seri Zolkples Embong.
Sungguhpun demikian ujar beliau yang dilaporkan stesen penyiaran Singapura, Channel NewAsia, jumlah sukan rasmi bakal muktamad dipertandingkan mungkin hampir sama juga dengan republik tersebut iaitu 36 jenis.
Singapura kali ini menggugurkan beberapa sukan
bukan Olimpik, yang sebelum ini membentuk sebahagian besar acara Sukan
SEA, dan beliau mahu mengurangkan lagi jumlah itu apabila Malaysia
menjadi tuan rumah kelak.
Menurut Zolkples, beliau turut ingin menerapkan
aspek-aspek lain yang dirasakan telah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya
oleh Singapura iaitu penggunaan secara meluas sistem teknologi digital
dan media sosial
Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Singapura
(SINGSOC) berganding bahu dengan firma Atos untuk menyediakan khidmat
teknologi maklumat yang dimanfaatkan tuan rumah Olimpik 1988 di Korea
Selatan.
“Saya amat kagum dengan aspek teknologi dalam
temasya kali ini yang dimanfaatkan Singapura,” ujar bekas Ketua Pengarah
Majlis Sukan Negara Malaysia itu dalam ditemuramah yang disiarkan
akhbar tempatan TODAY.
“Saya tertarik dengan sistem pemarkahan dan keputusan yang begitu pantas diumumkan secara online selain memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan pelbagai acara sukan menerusi Internet dan telefon bimbit.”
“Ini merupakan satu dimensi baru dalam sejarah
Sukan SEA yang bermula di Bangkok, Thailand pada 1959 dan ian wajar
dilaksanakan dalam temasya 2017 di Malaysia kelak. Saya tentu sekali
akan menimbangkannya.”
Zolkples; 55 tahun, berkata, Malaysia akan
memperuntukkan antara RM837 juta untuk menganjurkan Sukan SEA 2017,
lebih rendah berbanding Singapura membelanjakan RM903 juta untuk
menganjurkannya tahun ini.
“Singapura sudah menetapkan tanda aras yang begitu
tinggi bagi upacara perasmian dan penutup Sukan SEA. Tapi fokus kami
adalah untuk memberikan atlet dan peminat sukan di Malaysia sesuatu yang
boleh dibanggakan.”
Zolkples menambah, satu lagi aspek Sukan SEA 2015
yang amat berguna bagi Malaysia apabila menganjurkannya pada 2017 ialah
dengan menempatkan kesemua atlet yang bertanding dalam sukan yang sama
dalam satu hotel.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada
2001, penganjur menempatkan atlet mengikut kerakyatan tetapi kaedah itu
yang sekian lama diamalkan semua hos Sukan SEA menyebabkan atlet tidak
mengenali negara lain.
“Keputusan untuk menempatkan atlet acara sama di
hotel yang sama turut akan memudahkan perjalanan mereka ke lokasi
pertandingan yang sama dan ini juga akan dapat menjimatkan kos dari segi
pengangkutan logistik.”
Namun apa yang sebenarnya dekat di hati Zolkples
ialah peluang untuk mengetengahkan acara sukan Olimpik, sekali gus
beliau amat berharap akan membentuk sebahagian daripada warisan unik
Sukan SEA di Malaysia.
Meskipun sering kali menjadi norma untuk memilih
sukan yang berupaya menambah pungutan pingat emas bagi tuan rumah, namun
amalan itu tidak seiring dengan matlamat yang ditetapkan oleh pengasas
temasya tersebut.
Ketika diasaskan pada 1959, yang waktu itu
dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara, ia bermatlamat untuk
menggilap bakat ramai atlet dari rantau ini untuk bertanding di Sukan
Asia dan seterusnya Sukan Olimpik.
Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2017, Datuk Seri Zolkples Embong. |
“Setiap negara ingin meraih pingat yang banyak,
tapi lihat apa berlaku misalnya pada Indonesia semasa menjadi hos Sukan
SEA 2011, mereka buat banyak sukan bukan Olimpik dan ini memang
memanfaatkan mereka.
“Indonesia muncul sebagai juara keseluruhan dengan
pungutan 182 pingat emas tetapi lihat di Singapura, atlet Indonesia
hanya setakat mendapat 45 pingat emas sahaja dan jurang perbezaannya
begitu ketara sekali.
“Justeru, dari segi jenis sukan, kami
mungkin tidak akan menampilkan sukan yang bukan Olimpik seperti hoki
lantai dan perlumbaan bot optimist dalam acara sukan layar pada 2017.” –
Agensi