IPOH – Sultan Nazrin Shah bertitah baginda amat menghargai peranan
pelbagai agensi dan petugas media yang memberi liputan meluas bersempena
istiadat pertabalan baginda sebagai Sultan Perak XXXV.
“Media telah melaksanakan peranan amat penting menguar-uarkan
acara-acara yang dianjurkan dalam semangat untuk mendidik dan
meningkatkan kefahaman serta apresiasi masyarakat umum terhadap peranan
dan relevansi institusi Raja dalam sistem berkerajaan dan bernegara,
berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen,”
titah baginda.
Baginda bertitah pada Majlis Penghargaan Kepada Ahli-Ahli
Jawatankuasa dan Para Petugas Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan
Perak XXXV yang berlangsung di Hotel Casuarina, Meru Selasa.
Sultan Nazrin Shah turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar
dan seluruh jentera kerajaan negeri yang disifatkan baginda sebagai
telah mengusahakan yang terbaik untuk menjayakan istiadat pertabalan.
Baginda bertitah penyertaan golongan pelajar dan belia secara aktif
dengan acara berbentuk intelek, keilmuan serta membina elemen kenegaraan
yang berpegang kepada prinsip Rukun Negara iaitu ‘Kesetiaan Kepada Raja
dan Negara’, amat menggalakkan serta wajar terus dihidupkan dan
berkesinambungan.
Baginda turut menyatakan penghargaan kepada Angkatan Tentera
Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam, RELA
dan pelbagai badan beruniform.
Demikian juga Majlis Agama Islam dan Adat Melayu, Jabatan Agama
Islam, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan
Kesihatan, Pejabat dan Majlis Daerah serta pelbagai jabatan dan agensi
lain serta pihak swasta.
“Begitu pula peranan rakyat jelata yang hadir menyambut keberangkatan Beta dan Raja Permaisuri,” ujar baginda.
Sehubungan itu, Sultan Nazrin Shah bertitah jalinan kerjasama yang
tinggi antara pelbagai jabatan, agensi, pihak swasta dan individu dalam
semangat ‘berat sama dipikul’ untuk mencapai satu matlamat yang sama
telah berjaya menghasilkan yang terbaik.
Justeru, baginda bertitah semangat kerjasama dan kesatuan matlamat
ini hendaklah terus dipupuk dan dihidupkan sepanjang masa dan diterapkan
sebagai budaya kerja untuk memajukan Perak.
Sultan Nazrin Shah turut menzahirkan penghargaan kepada ‘petugas
tidak bernama’, iaitu mereka yang terlibat dalam kerja-kerja seperti
membina ‘bill board’, merentang sepanduk, menggantung bendera, memasang
lampu, dan sebagainya.
“Merekalah petugas yang telah melakukan kerja-kerja berat tanpa minta
dipuji; mereka bermandi keringat, dibakar pancaran terik matahari,
dibasahi hujan, didingini titisan embun malam,” titah baginda.
Sultan Nazrin Shah bertitah baginda sukacita apabila disembah maklum
bahawa titah nasihat baginda untuk meminimumkan perbelanjaan telah
dipatuhi.
Sehubungan itu, baginda menzahirkan hasrat untuk menyerahkan Balai
Gambang yang dinamakan Cempaka Sari, iaitu kenderaan air diraja, kepada
kerajaan negeri dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan di
negeri ini.
Kenderaan itu telah digunakan untuk menyusuri Sungai Perak dalam istiadat menziarah makam. – BERNAMA