Sumbang Zakat Untuk Rohingya: Terpulang Kepada Majlis Agama Negeri

PUTRAJAYA – Bantuan zakat untuk pelarian Rohingya adalah tertakluk kepada keputusan Majlis Agama Islam di setiap negeri, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.

Beliau berkata walaupun terdapat banyak pandangan bahawa rakyat Malaysia yang miskin patut diberi keutamaan untuk menerima sumbangan zakat berbanding pelarian Rohingya, namun tidak salah jika ia diberi atas dasar kemanusiaan.

“Memang sudah ada penerima zakat tetap setiap bulan dan di Wilayah Persekutuan sahaja ada 27,000 penerima zakat bulanan. Jadi kemungkinan ada selebihnya boleh diberi kepada golongan-golongan seperti ini (Rohingnya).

“Bagaimanapun zakat itu adalah di bawah negeri dan terpulang kepada mereka untuk ambil inisiatif,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program ‘Salam Kasih Ramadan’ anjuran Islamic Aid Malaysia dan Radio Malaysia Jakim Salamfm, di sini Khamis.

Menurutnya selain zakat, bantuan lain seperti kutipan derma di masjid-masjid juga boleh disalurkan kepada etnik Rohingya.

“Rakyat Malaysia pemurah suka menderma. Kutipan derma untuk melaksanakan aktiviti di masjid-masjid besar yang dikutip pada setiap Jumaat ada yang mencecah sehingga RM20,000 sehari. Itu juga boleh digunakan untuk membantu mereka,” kata Othman.

Pada Selasa lepas beliau bersetuju dengan pandangan Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang berkata pelarian Rohingya yang tertindas wajar diberi bantuan zakat serta bantuan lain yang sesuai.

Abdul Rahman berkata pelarian Rohingya termasuk golongan ‘ar-Riqab’ iaitu golongan yang ‘terbelenggu dan tiada kebebasan diri’ yang berhak menerima zakat selepas fakir, miskin, amil dan mualaf.

Bagaimanapun, pandangan itu mendapat reaksi berbeza daripada Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali yang menyifatkan kutipan wang zakat lebih baik disalurkan kepada rakyat negara ini sebelum digunakan untuk membantu pelarian Rohingya.

Che Mat menjelaskan walaupun usaha membantu pelarian Rohingya dilihat satu perbuatan yang baik namun keutamaan wang zakat harus diletakkan kepada rakyat negara ini. – BERNAMA