KUALA PILAH – Seorang penjenayah bersenjatakan parang berjaya dicekup
polis dalam tempoh kurang satu jam selepas melakukan samun terhadap ibu
saudaranya sendiri di Kampung Desa Jemapoh, di sini, kelmarin.
Suspek ditahan dengan bantuan penduduk kampung berkenaan di sebuah
ladang sawit yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mangsa yang
disamun dalam kejadian jam 8 pagi.
Mangsa berusia 78 tahun berkata, ketika kejadian dia yang sedang leka
menyapu sampah di bahagian anjung didatangi seorang lelaki dari arah
pintu belakang rumahnya.
“Mak cik tak perasan ada orang di belakang yang secara tiba-tiba
menekup mulut makcik dengan sehelai kain batik. Masa dia tekup mulut,
mak cik perasan suara lelaki dan terus mak cik melawan dan menjerit.
“Tapi, suspek terus bertindak ganas dengan menolak dan menyembam muka
makcik ke lantai dan dalam beberapa saat suspek terus mengambil rantai,
gelang tangan dan sepasang subang emas bernilai kira-kira RM14,000,”
katanya.
Mangsa berkata, dia tidak lagi mampu melawan selepas tangan diikat
menggunakan kabel telefon selain diugut tidak membuat bising dengan
menggunakan parang oleh suspek yang memakai baju celoreng Jabatan
Latihan Khidmat Negara (JLKN).
“Dalam keadaan kelam kabut, suspek yang memakai topeng meluru ke
dalam rumah dan mengambil barang berharga lain. Tapi, dalam masa sama
juga mak cik berjaya membuka ikatan di tangan sebelum bertindak memanjat
tembok pagar setinggi lima kaki.
“Mak cik terus berlari ke rumah jiran dan mereka terus menghubungi
polis. Suspek melihat mak cik yang berjaya melepaskan diri kemudian
melarikan diri ke arah ladang sawit,” katanya.
Menurutnya, walaupun sakit di pergelangan tangan kanan, namun barang
kemas miliknya berjaya diselamatkan selain bersyukur suaminya yang
terlantar sakit sejak 2014 tidak mengalami kecederaan.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia ternampak sebuah
kereta Perodua Myvi berwarna emas melalui hadapan rumahnya menghala ke
ladang kelapa sawit yang terletak tidak jauh dari rumah berkenaan,
kira-kira jam 7 pagi.
“Kira-kira 10 minit kemudian, saya lihat seorang lelaki berpakaian
baju JLKN keluar dari ladang tersebut menuju ke belakang rumah saya dan
kemudian memanjat pagar di bahagian belakang rumah mangsa.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana sangka lelaki terbabit
mengambil upah memanjat kelapa. Tidak berapa lama kemudian, saya
dimaklumkan oleh penduduk, lelaki terbabit telah diberkas kerana
menyamun mangsa,” katanya.
Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan
Azmi Abdul Rahim, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah
diketuai Inspektor Mohamad Zaim Ismail Yatim bergegas ke lokasi
persembunyian suspek dipercayai di ladang kelapa sawit sejurus menerima
panggilan dari penduduk kampung jam 9.37 pagi.
“Suspek yang berusia 44 tahun itu berjaya ditangkap jam 10 pagi
bersama parang, barang kemas milik mangsa dan kereta Myvi yang
disorokkan di dalam ladang sawit berkenaan.
“Ketika ditemui, suspek memakai pakaian lain dan dipercayai telah
menukar baju JLKN. Namun cubaan untuk mengaburi mata polis itu tidak
berjaya dan dia kemudian ditahan.
“Pemeriksaan lanjut dalam kereta yang disewanya, polis turut
menjumpai baju JLKN, barangan dipercayai hasil samun seperti, kad bank,
barang kemas, jam tangan dan beberapa peralatan untuk menyamun,” katanya
ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan (DSP)
Mohammad Abas dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Asisten Superitendan
(ASP) Anuar Bakri Abd Salam.
Azmi berkata, suspek yang berasal dari Pelangai dan belum berumah
tangga itu dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan samun di sekitar
daerah ini dan bergerak secara sendirian.
“Berdasarkan semakan, suspek yang positif dadah jenis opiate
mempunyai 10 rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah selain
tersenarai dalam orang dikehendaki polis.
“Siasatan awal mendapati suspek sering ke luar daerah dan pulang ke kampung untuk melakukan jenayah samun,” katanya.
Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dari tarikh
ditangkap pada 24 Jun bagi menyelesaikan siasatan kes di bawah Seksyen
392/397 Kanun Keseksaan. – Sinar Harian