Tampar Anak Kecil "Lekat" 5 Jari: Taska Terbabit Tidak Berlesen - JKM

GEORGETOWN - Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) yang terbabit dalam insiden seorang kanak-kanak didakwa didera pengasuhnya di Gelugor di sini Selasa lepas didapati beroperasi tanpa lesen.
  
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang, Said Sidup berkata pengurusan Taska itu ada membuat permohonan pendaftaran pada 21 Februari tahun lepas namun pengusahanya tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.
  
"Pemeriksaan terhadap Taska itu telah dilakukan pada 29 April 2014 serta 18 Feb dan 16 April 2015, namun mereka gagal mendapatkan kelulusan agensi teknikal selain bilangan pengasuh dan nisbah kanak-kanak-tidak mencukupi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Katanya surat peringatan pertama pernah dikeluarkan pada 11 Mei lepas bagaimanapun pengusahanya tidak hadir menemui JKM untuk berbincang mengenai perkara berkenaan.
  
Beliau berkata JKM mempertimbangkan menutup Taska terbabit dan ia adalah kes pertama melibatkan penderaan kanak-kanak di premis itu sejak pengusahanya bertukar beberapa tahun lepas.

Said berkata daripada tujuh pengasuh yang bertugas hanya dua daripada mereka menghadiri kursus asas asuhan dan seramai 30 kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun dihantar ke Taska itu.
  
Beliau menasihatkan golongan ibu bapa menghantar anak mereka ke pusat penjagaan berdaftar dan sehingga kini terdapat 164 lesen dikeluarkan di seluruh
Pulau Pinang.
  
Selasa lepas bapa mangsa menyedari terdapat kesan lebam kemerahan berbentuk lima jari yang cuba dilindungi dengan bedak tebal pada belakang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun itu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP, Mior Faridalathrash Wahid dalam sidang akhbar berasingan berkata seorang pengasuh berusia 22 tahun telah ditahan semalam untuk siasatan.

"Wanita itu ditahan pukul 7 malam di Taska terbabit dan polis percaya dia baru bekerja di situ," katanya.

Beliau berkata setakat ini polis telah merekodkan keterangan dari lima individu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001. - Bernama