Tandas London Ada Kokain, Jamban Amsterdam Ada Ganja

WASHINGTON DC – Selama ini mungkin ramai kalangan kita menyangka saluran kumbahan najis bawah tanah dipenuhi dengan tikus atau lipas, tetapi kajian penyelidik di Eropah menemui sesuatu yang jauh lebih unik.

Menurut stesen penyiaran terkenal BBC, London memiliki jumlah pembuangan kokain di saluran tersebut yang paling tinggi di benua Eropah, hasil kajian sebuah badan pemantauan ubat narkotik Kesatuan Eropah (EU).

Data penyelidikan itu turut mendapati, jika sistem saluran tandas di ibu kota Britain itu dipenuhi dadah jenis kokain, ibu negara Belanda, Amsterdam pula dikesan banyak bahan buangan manusia yang mengandungi ganja.

 

European Monitoring Centre for Drugs and Drug Addiction merumuskan penemuan aneh tersebut dengan mengkaji kandungan kumbahan dengan mengambil sampel dari saluran najis di lebih 50 bandar besar di Eropah.

Hasil penyelidikan berkenaan jelas membuktikan sebahagian besar penduduk di dua kota terkenal EU itu banyak mengambil dadah berbahaya tersebut sama ada untuk penagihan secara haram atau tujuan perubatan lain.

Kajian oleh agensi EU itu menunjukkan secara purata penduduk London membuang kumbahan mengandungi kira-kira 737 miligram kokain bagi setiap 1,000 orang dalam masa seminggu pada sepanjang tahun 2014 lalu.

Dilaporkan bahawa jumlah kokain dalam air buangan najis di kota London bahkan meningkat drastik pada hari Jumaat dan Sabtu apabila ramai berlibur, namun ia mulai berkurangan pada hari Ahad dan Isnin apabila mereka kembali bekerja.

Sementara itu jumlah ganja yang ditemui daripada jamban di Amsterdam didapati terus meningkat setiap hari dan paling tinggi pada hari minggu susulan ramai menghabiskan masa dengan bersuka ria di pub atau kelab malam.

Penyelidik membuat kesimpulan, peningkatan kadar penggunaan ubat narkotik secara gelap di Belanda pada hari Ahad mungkin disebabkan kebanjiran pelancong Britain di negara itu. – Agensi