Penduduk, Zulkifli Arof menunjuk kawasan telaga mas yang kini terbiar dan perlu dibaik pulih kembali supaya dapat menjadi tarikan pelancong ke Kampung Telaga Mas. Gambar kecil : Mahmud. |
POKOK SENA - Penduduk di Kampung Telaga Mas, dekat sini, memohon pihak
berkenaan membina semula kawasan telaga bersejarah yang sering
dikunjungi pelancong.
Penduduk mendakwa ramai pelancong luar sering berkunjung ke kawasan itu
namun, hanya dapat melihat bekas telaga itu sahaja, selain tidak dapat
mengetahui tentang sejarah telaga berkenaan.
Penduduk, Mahmud Said, 78, dari Kampung Seberang, Mukim Telaga Mas
berkata, telaga itu sebelum ini merupakan sumber bekalan air kepada
beberapa kampung di kawasan itu.
Menurutnya, telaga itu sehingga hari ini belum pernah kering dan pernah
semasa berlakunya kemarau yang serius penduduk terpaksa datang dan
menggunakan bekalan air di situ untuk aktiviti harian.
“Telaga Mas ini mendapat nama melalui dua versi. Pertama, mengenai
seorang cucu yang diarahkan oleh datuknya untuk mengambil air dan
apabila sampai di situ dia ternampak emas dalam tempayan.
“Apabila dia pulang untuk memaklumkan kepada datuknya dan mereka pergi
semula untuk mengambilnya, emas berkenaan sudah tidak kelihatan lagi.
"Kedua, dikatakan pernah Raja Jembal dari Patani yang menjadi buruan
Raja Siam melarikan diri dan menyimpan emas di dalam telaga itu,”
katanya.
Menurut Mahmud, pernah ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba
menggunakan ilmu sihir untuk mencari emas yang dikatakan terdapat di
dalam telaga itu tetapi gagal.
Katanya, selepas bekalan air dibekalkan kepada penduduk di kampung itu,
telaga berkenaan tidak lagi digunakan dan kemudiannya terbiar begitu
sahaja.
"Akibatnya, kedalaman telaga itu juga turut semakin cetek tetapi di
kawasan persekitarannya tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau.
“Pernah sebelum ini ada seorang guru yang meminati sejarah telah
membina papan sejarah telaga mas itu tetapi rosak kerana tiada usaha
untuk membaikinya semula," katanya.
Dalam pada itu, penduduk berharap ada pihak yang bertanggungjawab dapat
membinanya semula supaya dapat menjadi rujukan kepada pelancong yang
datang ke situ.
“Diharap ia dapat menjadi rujukan kepada generasi akan datang tentang
sejarah telaga itu hingga kawasan berkenaan mendapat nama Telaga Mas,”
katanya.
Menurut Mahmud, sebelum ini kampung itu dikenali sebagai Kampung Raja
kerana dikatakan Raja Jembal bersama rombongannya telah datang ke situ.
"Ini terbukti dengan beberapa kubur keturunan raja yang dimakamkan di kampung itu," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung
(JKKK) Telaga Mas, Nazri Shafie ketika dihubungi berkata, pihaknya
memang bersetuju dengan cadangan penduduk kampung itu.
Malahan, pihaknya juga telah merangka pelan bangunan serta akan
mengorek kembali telaga itu supaya memudahkan pelancong mendapat
maklumat serta menjadi rujukan kepada generasi akan datang.
Sumber: Sinar Harian