Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kredit Foto: PDRM |
TAWAU – Penelitian secara holistik perlu dilakukan untuk
menyelesaikan masalah perumahan polis, khususnya di kawasan luar bandar,
kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, perkara itu sangat penting untuk memastikan semua
pegawai dan anggota polis menikmati kemudahan yang berkualiti dan
sepatutnya.
“Semua pegawai dan anggota polis, sama ada di bandar atau di kawasan
pedalaman berhak mendapat kemudahan yang sepatutnya. Oleh itu kita perlu
membuat penelitian secara terperinci untuk memastikan perkara itu dapat
dicapai,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di
Pulau Sebatik, dekat sini hari ini.
Pada masa sama beliau berkata, pada mesyuarat jemaah menteri minggu
lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi
peruntukan tambahan untuk membaik pulih rumah polis dan tentera.
“Walaupun kerajaan telah memberi peruntukan yang sangat besar untuk
membaik pulih rumah polis dan tentera, iaitu sebanyak RM100 juta pada
tahun ini, namun peruntukan itu didapati tidak mencukupi bagi membaik
pulih dan jauh sekali untuk mempertingkatkan kemudahan sedia ada.
“Oleh itu kita sangat berterima kasih kepada kerajaan, terutamanya
kepada perdana menteri yang telah memberi peruntukan tambahan untuk
membaik pulih rumah kediaman Polis Diraja Malaysia dan tentera,” kata
Ahmad Zahid.
Mengulas mengenai lawatannya hari ini, beliau berkata, ia bertujuan
untuk meninjau kemudahan balai termasuk rumah kediaman polis di kawasan
pendalaman.
“Kita telah meninjau beberapa kemudahan balai polis di kawasan ini
(Pulau Sebatik) dan kita mendapati ada kemudahan balai yang tidak berada
pada tahap yang sepatutnya.
“Kita mendapati spesifikasi pembinaan kemudahan berkenaan tidak
mengikut tahap yang seharusnya dan ada kemungkinan ia dipengaruhi oleh
faktor kos pengangkutan, namun ia tidak seharusnya terjadi,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, masalah ini perlu diatasi dan kerajaan tidak
akan berkompromi tentang perkara itu kerana mahu memastikan semua
anggota dan pegawai polis mendapat kemudahan yang sebaiknya. – BERNAMA