PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan sabitan
dan hukuman mati terhadap seorang bekas pemandu teksi kerana membunuh
seorang wanita dengan menembaknya dalam satu rompakan di Pasar Raya
Giant Batu Caves, Gombak, 10 tahun lepas.
Panel lima anggota diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus
Sharif dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan akhir Mokhtar Mohd
Zin, 53, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang
mensabitkannya terhadap pertuduhan membunuh Siti Shamiza Abu Zarim.
Hakim Md Raus berkata tidak ada sebab bagi mahkamah itu untuk
mengubah keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati Mokhtar bersalah
membunuh wanita itu kerana dia telah dicamkan secara konklusif oleh
beberapa saksi pihak pendakwaan sebagai individu yang menembak wanita
itu.
“Oleh itu rayuan ditolak, keputusan Mahkamah Rayuan, sabitan dan
hukuman mati dikekalkan,” kata Hakim Md Raus yang bersidang bersama
Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Ahmad
Maarop, Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Mokhtar, yang juga seorang peniaga barang seludup dari Thailand,
didakwa membunuh Siti Shamiza, 30, seorang setiausaha di sebuah syarikat
pembinaan, di tempat letak kereta Pasar Raya Giant Batu Caves, pada
1.45 tengah hari, 19 Mac 2005.
Mengikut keterangan saksi awam semasa perbicaraan kes itu, saksi
telah mendengar bunyi tembakan di tempat letak kereta di situ dan
selepas itu seorang wanita ditemukan di atas tapak letak kereta
bersebelahan sebuah kereta.
Laporan bedah siasat mendapati mangsa mati disebabkan tembakan di
dadanya dan dia ditembak mati dari arah hadapan. Sebuah telefon bimbit
yang digunakan Mokhtar juga dijumpai di sisi mayat itu.
Mokhtar, dari Kelantan, semasa membela dirinya memberitahu mahkamah
bahawa dua hari sebelum kejadian itu dia pergi ke Kuala Lumpur bagi
menghadiri kes di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan pulang ke Kelantan
pada hari sama pada 17, Mei 2005.
Katanya dia tiba di Rantau Panjang pada pagi 18 Mei, 2005 dan sebelah petang beliau pergi ke Golok, Thailand.
Dia menyerah diri kepada polis pada 26 Mac 2005 selepas isterinya
menelefonnya dan memberitahu gambarnya keluar di dalam berita berhubung
kejadian bunuh di Kuala Lumpur.
Pada 20 Sept 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Mokhtar
daripada pertuduhan membunuh di akhir kes pendakwaan. Bagaimanapun pihak
pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu merayu di
Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Rayuan pada 10 Okt 2011, memerintahkan Mokhtar membela diri
selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah
Tinggi.
Pada 30 Mac, 2012, Mahkamah Tinggi Shah Alam sekali lagi melepaskan
dan membebaskan Mokhtar daripada pertuduhan itu selepas mendengar
pembelaannya, tetapi Mahkamah Rayuan kemudiannya mensabitkan lelaki itu
terhadap pertuduhan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Hari ini Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya. – BERNAMA