TERKINI: Keputusan Rasmi Penuh Pemilihan PAS Sesi 2015/2017

Undian kemenangan Abdul Hadi siang tadi
Tiada yang terindah dan mengujakan apabila laungan takbir bergema menggegarkan dewan Muktamar PAS kali ke-61 sejurus selepas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi diumumkan kekal mempertahan jawatan Presiden yang disandangnya malam tadi.

Abdul Hadi kelihatan tenang dalam senyuman ketika diumumkan menang dengan menerima sebanyak 928 undi jauh meninggalkan pencabarnya, Ahmad Awang, yang hanya memperoleh 233 undi sahaja.

Bagai menyambut kemenangan tokoh ulama dunia itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man turut unggul menewaskan penyandang jawatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Mohamad atau lebih dikenali dengan nama Mat Sabu gagal mempertahan jawatan nombor dua PAS itu dengan hanya memperoleh sebanyak 279 undi berbanding Tuan Ibrahim yang merupakan tokoh ulama Pahang yang berjaya mendapat 881 undi.

Sementara itu, ketiga-tiga pemimpin pro-ulama PAS yang terdiri dari Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad turut memeriahkan kemenangan golongan pro-ulama apabila dipilih para perwakilan sebagai Naib Presiden PAS yang baru.


Tiga lagi calon Naib Presiden iaitu Datuk Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa tewas tewas di tangan ketiga-tiga pemimpin pilihan Dewan Ulama PAS berkenaan.

Kemenangan bergaya golongan pro-ulama semakin terserlah apabila barisan 18 Ahli Jawatankuasa PAS Pusat juga menyaksikan kejutan besar apabila "dimonopoli" oleh tokoh-tokoh ulama di dalam parti tersebut.

Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dan Dr Riduan Mohd Noor jelas menjadi pilihan para perwakilan apabila keduanya menerima undian tertinggi sebanyak 782 undi, mengatasi semua calon bagi jawatan AJK PAS Pusat sesi 2015/2017.

Senarai AJK PAS Pusat diikuti oleh Datuk Nasrudin Daud, Sallehen Mukhyi, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, Datuk Dr Fadhli Hassan, Datuk Abdullah Hussin dan Razman Zakaria.

Seterusnya diekori oleh Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Ustaz Mokhtar Senik, Zaharuddin Muhammad, Dr Ali Akbar Gulasan, Mazlan Aliman, Dr Rosni Adam, Mohd Noor Mohamad, Muhammad Sanusi Md Nor dan akhir sekali, Nor Azli Musa.

Antara nama-nama besar yang terkeluar dari AJK PAS Pusat kali ini ialah Dr Mujahid Yusuf Rawa, Khalid Samad, Dr Hatta Ramli, Dr Dzulkefli Ahmad, Hanipa Maidin dan ramai lagi.

Kedahnews.com mengucapkan tahniah dan syabas kepada pucuk pimpinan PAS sesi 2015/2017 yang terpilih, serta selamat menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan para perwakilan PAS untuk penggal ini. -Kedahnews.com