Terkini Pemilihan PAS: Abdul Hadi "Ketinggalan" Di Belakang Ahmad Awang!

Hebat atau tidak permainan "psychology" laman portal Malaysiakini, mereka awal-awal lagi bertindak bijak dengan mengadakan undian secara online di laman portal mereka dengan memberi kebebasan kepada para pembaca mengundi pucuk pimpinan PAS yang baru.

Bagi jawatan Presiden PAS, undian setakat jam 8.50 malam tadi menyaksikan penyandang jawatan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang hanya memperoleh sebanyak 38 peratus undian, tewas mengejut di tangan pencabarnya Ahmad Awang yang berjaya memperoleh undian sebanyak 62 peratus!

Kedahnews.com tersenyum sumbing dengan "keputusan awal" di Malaysiakini itu dan pada kami, sekiranya undian boleh dibuat dengan cara begitu untuk memilih Presiden PAS, rasanya mungkin pemimpin nombor satu PAS itu boleh diputuskan melalui jumlah "likes" di Facebook, bukan?

Sehingga kini, Abdul Hadi berjaya mendapat sebanyak 206,000 likes di laman Facebook rasminya, manakala calon yang mungkin menjadi pilihan di Malaysiakini pula hanya mendapat kurang dari 8,000 likes di laman Facebooknya.

Pada pandangan kami, undian secara online mungkin tidak dapat diterima pakai ekoran wujud pelbagai kaedah yang mampu menipu keputusan dengan menggunakan pelbagai IP dan muslihat teknikal siber.

Lagi pun, mungkin undian di Malaysiakini itu merupakan salah satu alat propaganda pihak tertentu dengan menggunakan "Red Bean Army" untuk menjejaskan tahap moral calon-calon yang bertanding pada pemilihan PAS kali ini.

Lebih "menarik", Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dikatakan telah "tewas" di tangan Suhaizan Kayat bagi jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, juga berdasarkan undian di laman portal pro-Pakatan Rakyat itu.

Justeru itu, kami menyarankan supaya orang ramai tidak mudah dimanipulasi dengan kaedah berkenaan dan menunggu hasil keputusan pemilihan PAS yang bakal berlangsung bermula 4 hingga 6 Jun ini. Selamat bermuktamar! -Kedahnews.com