LAHAD DATU – Masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah
terutama di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) ‘terlalu kompleks’ yang
diwarisi sejak berpuluh tahun lepas, kata Pengarah Komponen Laut Kawasan
Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Laksamana Pertama Maritim
M. Karunanithi.
Beliau berkata bagi menyelesaikan sepenuhnya masalah itu, tempoh satu
atau dua tahun tidak memadai kerana memerlukan perancangan teliti dan
penglibatan semua pihak secara holistik.
“Kehadiran PATI yang banyak ini merupakan ancaman besar kepada Sabah
kerana ada dalam kalangan mereka jadi tali barut kepada penjenayah
rentas sempadan, terutama penculikan.
“Susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai PATI (RCI) di
Sabah, Esscom dipertanggungjawab mengemudi operasi memburu PATI di
Esszone termasuk mengekang penculikan … namun bukan mudah untuk
mensifarkan jenayah penculikan selagi ada musuh dalam selimut … masalah
PATI perlu diselesaikan secara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog program Esscom bersama
Komuniti Nelayan Lahad Datu di Pejabat Daerah Lahad Datu, di sini hari
ini. Turut hadir Pengerusi Persatuan Nelayan Lahad Datu Eskin Ibrahim
dan Penolong Ketua Staf Perisikan Esscom Supt Che Aris Bakar.
Mengenai penyeludupan, Karunanithi berkata sebahagian besar aktiviti
itu dilakukan oleh PATI dan didalangi orang tempatan sendiri terutama
membabitkan rokok, diesel dan gas bersubsidi.
Beliau berkata apabila operasi bersepadu dilancarkan awal tahun ini,
ada pihak termasuk peniaga yang menggaji PATI mengadu perniagaan atau
ekonomi mereka terjejas.
“Hanya ada satu undang-undang yang terpakai untuk semua orang
termasuk rakyat tempatan, penyeludup dan PATI … patuhi undang-undang
tersebut … janganlah marah kepada Esscom dan biarlah Esscom buat kerja,
dan tunjukkan cinta kita kepada negara,” katanya.
Beliau berharap semua pihak termasuk pemimpin parti politik dapat
memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Esscom dan tidak mempersoalkan
kewajaran operasi bersepadu yang bertujuan membersihkan Sabah, khususnya
Esszone daripada PATI dan aktiviti penyeludupan. – BERNAMA