Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom |
KUALA LUMPUR – Proses penjualan semula tanah milik Lembaga Tabung
Haji (TH) di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) masih diteruskan
dan belum dimuktamadkan sama ada ia akan dibatalkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata keputusan TH sebelum ini untuk menjual semula tanah itu adalah
kerana tidak mahu menimbulkan lebih banyak fitnah dan tohmahan terhadap
TH, walaupun pembelian aset itu jelas berlandaskan perniagaan dan patuh
syariah.
“Proses pembelian tanah ini dibuat dengan rapi, walaupun tawaran
daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula pada Mei 2013, tapi
ia hanya dibeli pada 2015.
“Ada sesetengah orang tak faham, kalau nilai tanah di TRX diukur oleh
badan bebas antarabangsa, harganya mahal dan TH sebenarnya diberi
tawaran lebih baik dan pada waktu itu (pada 2013) tanah itu belum
dibangunkan.
“Namun setelah pandangan atau persepsi negatif lebih mengatasi
daripada perniagaan, untuk tidak mahu timbulkan fitnah, TH ambil
keputusan untuk menjual kembali tanah itu,” katanya ketika menjawab
soalan tambahan Senator Datuk Muhammad Olian Abdullah pada persidangan
Dewan Negara hari ini.
Muhammad Olian ingin tahu adakah keputusan menjual semula tanah
seluas 0.63 hektar dalam kawasan TRX itu adalah keputusan muktamad.
Jamil Khir juga memberitahu bahawa berlaku perhimpunan dan
demonstrasi di hadapan bangunan TH selain pihaknya turut menerima
memorandum daripada badan bukan kerajaan (NGO), yang memperlihatkan
kemarahan orang ramai disebabkan persepsi tidak tepat ke atas pembelian
tanah itu.
Beliau berkata, rakyat khususnya yang beragama Islam seharusnya
berbangga kerana umat Islam boleh memiliki satu kawasan pembangunan
dalam segi tiga emas yang akan menjadi ikon pada masa akan datang.
“Kini 1MDB dah bangunkan tanah itu termasuk akan ada kereta api laju
dari Singapura, lebuh raya… akan ada bangunan ikon seperti KLCC, malah
ia lebih hebat dan perkara ini sedang giat dibangunkan infrastrukturnya,
bukan hanya atas kertas.
“Sebenarnya kita juga ingin melihat pada satu ketika bahawa TRX
terbangun bukan hanya dalam bentuk keindahan, tapi boleh bermegah dengan
bangunan dimiliki TH di TRX,” katanya.
Sementara itu, Jamil Khir berkata TH sentiasa menitik beratkan
kepentingan pendepositnya dan menegaskan bahawa setiap pelaburan yang
dirancang dan dilaksanakan adalah selamat dan berdaya maju serta
memberikan manfaat dan keuntungan kepada pendeposit tanpa menjejaskan
simpanan mereka.
Katanya, pendeposit hendaklah terus yakin dengan keupayaan TH sebagai sebuah institusi ikonik Islam yang terulung di negara ini.
Tabung Haji sebelum ini dikecam hebat kerana membeli tanah tersebut
dengan harga RM188.5 juta daripada syarikat pelaburan kerajaan 1MDB.
Ekoran itu, pada 9 Mei lepas, TH memutuskan untuk menjual tanahnya di
TRX atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai
menghormati sensitiviti dan kepercayaan pendeposit.
Bagaimanapun pada persidangan Dewan Rakyat yang lepas, beberapa wakil
rakyat yang menyentuh isu pembelian tanah itu, termasuk bukan Islam,
berpendapat TH wajar menimbang semula cadangan untuk menjual tanah
berkenaan kerana disifatkan sebagai pelaburan yang menguntungkan. –
BERNAMA