Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar |
KUALA LUMPUR – Polis menolak adanya unsur pecah amanah (CBT) dalam
kes pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Melbourne,
Australia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis tidak
terlibat dalam siasatan kes ini kerana ia dilakukan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kami tak nampak ada unsur CBT dalam perkara ini, jadi pihak SPRM akan jalankan siasatan sepenuhnya.
“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) tak terlibat buat masa
ini, buat masa ini tak ada unsur-unsur CBT dalam kes ini,” katanya pada
sidang media selepas Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya PDRM bagi
2015 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada polis akan turut membantu siasatan kes berkenaan.
Kontroversi pembelian hartanah di Melbourbe timbul apabila akhbar Australia, The Age
melaporkan seorang pegawai tinggi Mara dan seorang bekas ahli politik
didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok
apartmen bagi menempatkan pelajar yang dibiayai Mara.
Akhbar itu mendakwa ‘sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya’
terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di
bandar raya itu pada 2013.
Ketiga-tiga pegawai itu didakwa ‘membida lebih tinggi’ bagi bangunan
itu dikenali ‘Dudley International House’, daripada A$17.8 juta kepada
A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai
rasuah di tanah air.
Dudley International House merupakan asrama pelajar, dibeli Mara yang
menyediakan biasiswa pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di
luar negara.
Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat di
subbandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar Mara di Monash
University. – The Star