Tiada Wujud Lagi Istilah "Pakatan Rakyat", Kata Kit Siang

Penasihat DAP, Lim Kit Siang
ALOR SETAR - Meskipun PAS masih mempertahan bahawa Pakatan Rakyat masih wujud dan belum berkubur, DAP terus tetap menegaskan bahawa gabungan tiga parti pembangkan itu telah pun berakhir, mencapai titik noktah.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang sebelum ini kuat membidas PAS, dalam penegasannya untuk kesekian kalinya mengatakan bahawa tiada lagi istilah Pakatan Rakyat dalam pilihanraya di negara ini.

“Tiada lagi Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Negeri akan datang,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, tiada gabungan antara DAP, PKR mahupun PAS akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang dijangka berlangsung tahun depan atau Pilihan Raya Umum (PRU) selepas ini.

“PRN Sarawak akan datang akan menjadi pilihan raya pertama selepas tahun 2008 tanpa Pakatan Rakyat yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS dan begitu juga pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Bagaimana agaknya pengundi di Sarawak akan menghadapi perubahan politik buat kali yang ketiga dalam pilihan raya negeri,” katanya lagi seolah "berkerat rotan" dengan PAS.

Kit Siang berkata, para pengundi Sarawak bagaimanapun boleh membuktikan walaupun tanpa Pakatan Rakyat, agenda Dasar Bersama Pakatan Rakyat masih relevan dengan mengekalkan kerusi DAP dan PKR yang dimenangi kedua-dua parti itu dalam PRU Ke-13. -Kedahnews.com