Tiba Masa Martabatkan Bahasa Kebangsaan, Wujudkan Akta - GAPENA

KUALA LUMPUR – Ketua Gabungan Penulis Nasional (Gapena) Datuk Abdul Latiff Bakar berkata telah tiba masanya kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang mengenakan hukuman terhadap agensi, jabatan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal memartabatkan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi mereka.

“Perkara ini pernah kami usulkan berkali-kali, tetapi belum ada perkembangan, jika sekarang kita hanya boleh menegur, tetapi jika penguatkuasaan undang-undang mana-mana pihak yang ingkar pada arahan ini (memartabatkan bahasa kebangsaan) boleh dihukum,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewajibkan senat Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) mematuhi arahan memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pentadbiran mereka.

“Kelas-kelas, nota-nota, sesi pembelajaran, perlu diwajibkan dijalankan dalam Bahasa Melayu, penulisan jurnal-jurnal dan laporan untuk tujuan kenaikan pangkat pensyarah juga wajib dalam bahasa Melayu.

“Sebagai institusi pendidikan, mereka mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memartabatkan bahasa Melayu dan tidak hanya mengejar ‘ranking’ sahaja,” katanya ketika menjadi panel dalam forum ‘Cabaran Bahasa Kebangsaan Dalam Era Globalisasi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Awang Sariyan berkata DBP akan mengadakan audit bahasa ke atas enam IPTA sebagai langkah memastikan IPTA negara ini mengikuti arahan ditetapkan.

Katanya DBP setakat ini juga telah mengaudit 37 daripada 149 PBT di seluruh negara sebagai langkah memberi penarafan bintang kepada PBT yang menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi mereka.

“Daripada audit yang kami jalankan, tahap penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi termasuk iklan masih tidak memuaskan.

“Namun ada beberapa PBT yang kami tarafkan lima bintang antaranya Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA),” katanya pada forum itu.

Katanya penarafan berkenaan adalah antara usaha kerajaan bagi menggalakkan PBT memartabatkan bahasa Melayu.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar pula berkata sistem pendidikan perlu mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan penggunaannya bukanlah disebabkan kelemahan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

“Kami akui kepentingan dan bukan menentang bahasa Inggeris …bahasa-bahasa lain boleh diperkasakan termasuklah bahasa Inggeris, tetapi itu bukan alasan untuk menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah,” katanya. – BERNAMA