Anggota penguatkuasa MPKK bertindak menyita gerai makanan di Jalan Perdagangan, pagi kelmarin. |
KULIM - Tujuh gerai penjaja makanan dan minuman yang beroperasi beberapa
bulan lalu di Jalan Perdagangan berhadapan Taman Angsana dan Taman
Lembah Impiana disita Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), pagi
kelmarin.
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Jabatan
Pembangunan Masyarakat MPKK, Munira Abdul Halim berkata, penyitaan
barangan penjaja di kawasan itu dilakukan setelah mereka ingkar untuk
mematuhi notis arahan yang dikeluarkan pada pertengahan Mei lalu.
Menurutnya, notis itu mengarahkan penjaja atau pemilik gerai di situ
mengalihkan peralatan mereka setelah tamat berniaga kerana ia
menyebabkan halangan di tempat awam serta bukan kawasan tapak berniaga
yang dibenarkan.
“Pihak kami membuat operasi sitaan atau rampasan terhadap beberapa
penjaja yang masih enggan mengalihkan barang niagaan mereka walaupun
notis arahan dikeluarkan sebelum ini.
“Walaupun tarikh notis tamat, kami dapati masih ada barangan penjaja
yang ditinggalkan di kawasan yang tidak dibenarkan berniaga dan
meninggalkan peralatan di situ pula,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, penjaja yang terlibat boleh menuntut kembali barang dan
peralatan yang dirampas dalam tempoh tujuh hari seperti mana tindakan
dikenakan mengikut Undang-undang Kecil Perlesenan, Penjaja dan Gerai
(MPKK 2009) dan penjaja juga boleh dikenakan kompaun dengan nilai
maksima sebanyak RM300.
“Pihak kami merampas barang yang ada di lokasi berkenaan seperti
seperti gerai berbumbung, khemah penjaja, meja, dapur memasak dan
lain-lain peralatan yang ditinggalkan,” katanya.
Katanya, penjaja disarankan berniaga di kawasan yang dibenarkan dan
mempunyai lesen perniagaan penjaja yang sah daripada pihak berkuasa
tempatan (PBT) di MPKK serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Sumber: Sinar Harian