Tilawatul Quran Satu Mukjizat

SUNGGUH mengasyikkan dan menenangkan minda apabila menghayati bacaan al-Quran yang diperdengarkan oleh para qari dan qariah majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang baru berlalu.

Keindahan bacaan al-Quran di samping suara pengalunnya yang merdu menatijahkan ketenangan dan keinsafan kepada pendengar yang mentadabbur bacaan ayat-ayat suci al-Quran tersebut.

Keindahan dan keunikan bacaan al-Quran bertitik-tolak daripada kemukjizatan bahasa al-Quran. Kemukjizatan bahasa al-Quran terserlah daripada susunan huruf al-Quran, perkataannya dan gaya bahasanya.

Di samping itu bacaan al-Quran padanya nilai kemukjizatan kejiwaan atau al i`jaz al nafsiy. Gabungan dua kemukjizatan ini menatijahkan keinsafan, ketenangan, ketenteraman dan kedamaian.

Dapatan kajian ilmiah menunjukkan degupan jantung yang stabil apabila diperdengarkan bacaan al-Quran. Majalah al-ayat melaporkan sepasukan pengkaji telah membuat kajian makmal dan merumuskan bahawa tumbuhan yang diperdengarkan bacaan al-Quran tumbuh dengan normal.

Mengimbau sejarah pengislaman Saidina Umar al-Khattab yang mendengar adiknya Fatimah membaca surah Taha, lalu berkata: “...bacaan itu telah memasukkan daku ke dalam Islam.”

Tufail RA penyair terkenal di zaman jahiliah memeluk Islam kerana terpegun dengan keindahan bahasa al-Quran yang dibaca oleh Rasulullah SAW.


Kesemua ini menjelaskan nilai kemukjizatan bahasa dan kejiwaan di dalam al-Quran.

Apakah elemen yang menjadikan bahasa dan bacaan al-Quran suatu keunikan dan kemukjizatan?

Pertama, gabungan dan susunan huruf al-Quran yang membentuk kalimah al-Quran, begitu juga kalimah al-Quran yang membentuk ayat al-Quran. Bacaan ayat-ayat suci hasil gabungan huruf dan kalimahnya membentuk rentak yang indah dan mempesonakan.

Perlu ditegaskan bahawa setiap huruf, kalimah dan ayat al-Quran adalah mutawatir justeru, rentak bacaan al-Quran akan hilang keindahannya jika dibuang walau satu huruf. Sebagai contoh, jika anda membaca ayat pertama dan kedua daripada surah Yasin dan anda buangkan huruf ‘waw’ maka hilanglah keindahan rentak bacaan ayat al-Quran.

Kedua, keindahan gaya bahasa al-Quran dapat diselami oleh setiap insan yang mendengarnya sama ada orang Arab atau bukan Arab bahkan kepada mereka yang bukan Muslim sekalipun. Hati mereka pasti terdetak lantaran keindahan gaya bahasa al-Quran.

Syed Qutb menceritakan pengalaman beliau ketika menjadi imam di dalam sebuah bahtera. Selepas mengimamkan solat beliau telah didatangi oleh seorang wa­nita Yugoslavia lantas menyatakan keterujaannya yang terpegun dengan bunyian yang mengasyikkan iaitu bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Ketiga, walaupun al-Quran diturunkan dalam tujuh huruf (tujuh qiraat) namun keindahan gaya bahasanya tetap tidak terjejas. Rasulullah SAW bersabda:
“Diturunkan al-Quran dalam tujuh huruf.” (Riwayat al-Bukhari)
Keempat, kaedah ilmu Tajwid al-Quran yang diterima secara Tauqifiy (Ketentuan daripada Nabi SAW) menyumbang ke arah kesempurnaan keindahan bahasa al-Quran justeru, mereka yang mengabaikan ilmu Tajwid al-Quran ketika membacanya akan menjejaskan keindahan bahasa al-Quran begitu juga keindahan rentak bacaan al-Quran.

Sebagai contohnya surah al-Nas, jika dibaca tanpa ‘mad’ ketika waqaf akan menjejaskan sama sekali keindahan rentak bacaan.

Mustafa Sadiq al-Rafi’iy menyatakan ghunnah (dengung) yang diabaikan dalam bacaan ayat al-Quran akan menghilangkan keindahan bacaan al-Quran.

Kelima, rentak bacaan al-Quran yang indah juga terbina atas gabungan makhraj (tempat keluar sebutan huruf) huruf dan sifat-sifat hurufnya yang sesuai.

Al-Rafi’iy menjelaskan al-Quran dengan ketinggian bahasanya dapat memastikan keindahan kalimahnya walau terhimpun di dalamnya lapan atau sembilan huruf seperti perkataan “fasayakfikahum”(surah al-Baqarah:137).

Sedangkan penyair terkenal di zaman Jahiliah, Umru` al-Qais gagal mengolah huruf-huruf pada perkataan ‘mustayszirat’ dalam qasidah ‘muallaqat’. Ahli-ahli ilmu Fasahah Arab sepakat mengatakan perkataan tersebut tidak fasih kerana adanya unsur-unsur Tanafur al-Huruf (penggunaan huruf yang tiada keserasian).

Keenam, ayat-ayat al-Quran kebanyakannya diakhiri dengan huruf ‘Mim’ dan ‘Nun’ (diwaqafkan atas mad ‘aridh atau mad Lin). Ini menjadikan akhiran ayat-ayat tersebut menarik apabila dibaca dan diperdengarkan.

Ketujuh, gabungan dan susunan baris al-Quran juga ternyata membentuk keindahannya yang tersendiri bahkan, susunan baris yang dianggap thaqil (berat) oleh orang Arab, diolah oleh al-Quran dengan indah.

Ternyata al-Quran ialah kalam Allah SWT yang sarat dengan nilai keunikan dan kemukjizatan. Bukan sahaja dari sudut syariat, bilangan atau sains dan teknologi bahkan dari sudut bacaan dan bahasanya juga terkandung nilai keunikan dan kemukjizatan.

Semoga kita sama-sama menghayati bacaan al-Quran.

*Dr. Mohd. Fahmi Abdul Khir, PENULIS ialah pensyarah Kolej Komuniti Gerik, Perak./Utusan