Atlet gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi |
Dalam jawapan balas menerusi laman sosial Twitter milik beliau, @farahannhadi
membidas pengguna laman maya terbabit sebagai sekadar bertaraf tin-tin
kosong yang hanya tahu membuat bunyi bising lebih sahaja.
“Empty cans make the most noise,” kicau wanita berusia 21
tahun tersebut secara ringkas dalam Twitter dirinya yang dikemas kini
sejak Jumaat dan sehingga kini mesej berkenaan sudah pun diulang kicau
hampir 1,000 kali.
Beberapa media sebelum ini menyiarkan laporan yang dipetik
daripada sebuah portal berita tempatan mengenai tindakan Farah Ann
memuat naik gambar dirinya menerusi laman Facebook rasmi Buletin TV3 pada Rabu lalu.
Foto tersebut menunjukkan aksi spontan gimnas Malaysia itu meraikan
kegembiraan selepas berjaya meraih pingat emas baru-baru ini dalam salah
satu acara gimnastik pada Sukan SEA 2015 yang berlangsung di Singapura.
Namun, gambar sensasi dan eksklusif berkenaan teruk dikecam ramai
pengguna apabila mereka mempertikaikan penampilan Farah Ann masih lagi
berpakaian gimnastik sehingga mendedahkan susuk tubuh dan lurah faraj.
Namun, ada juga pengguna laman itu mempertahankan penampilan
bersahaja gimnas tersebut dengan pakaian sukan berkenaan sambil
mengucapkan syabas atas kejayaan beliau mengharumkan nama Malaysia di
luar negara.
Tidak kurang pula menyifatkan gambar istimewa itu sebagai kurang
sesuai disiarkan untuk tatapan umum dan mungkin Farah Ann teruja hendak
memberitahu kepada peminatnya bahawa beliau baharu menang pingat emas.
Pada kelaziman gimnas akan memakai seluar trek dan jaket rasmi
kontinjen negara masing-masing ketika majlis penyampaian pingat dan
bukan berpakaian seksi sedemikian semasa berdiri mengambil pingat di
atas pentas.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar
dalam reaksi awal susulan kontroversi pakaian gimnas berkenaan segera
meminta pengkritik Farah Ann memberi ruang masa kepada atlet tersebut.
Dalam komen menerusi Twitter milik dirinya, @khairykj
menulis atlet itu memukau para hakim dan akhirnya membawa sebutir pingat
emas untuk kontinjen Malaysia pada temasya dwitahunan terbesar Asia
tenggara itu.
“Manakala dari segi niat (cara berpakaian dedah aurat) hanya Tuhan
sahaja dapat mengadilinya. Bukan anda di luar sana. Biarkanlah atlet itu
bersendirian,” kicau Khairy melalui Twitter. – Agensi