PUTRAJAYA – Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapatkan
nasihat Jabatan Peguam Negara bagi memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi
Kuching berhubung arahan semakan semula persempadanan bahagian pilihan
raya negeri Sarawak dibuat berlandaskan peruntukan Perlembagaan
Persekutuan.
Ini dinyatakan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang
berkata di bawah Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan, fungsi utama
Peguam Negara (AG) adalah untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong
(YDPA) atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri berkaitan
undang-undang.
Beliau berkata pada masa sama peruntukan undang-undang itu menyatakan
AG juga berperanan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat
undang-undang yang dari semasa ke semasa dirujuk atau ditugaskan oleh
YDPA.
“Memandangkan salah satu fungsi AG adalah untuk menasihati YDPA
mengenai perkara-perkara undang-undang, maka adalah betul dan logik SPR
merujuk perkara undang-undang melibatkan Perlembagaan Persekutuan kepada
AG,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan beberapa peguam
yang mahu SPR tidak menggunakan khidmat AG dalam kes di Sarawak,
sebaliknya mendapatkan khidmat peguam sendiri.
Menjelas lanjut Abdul Aziz berkata keanggotaan SPR adalah dilantik
oleh YDPA di bawah perkara 114 (1) yang menyatakan suruhanjaya itu
bertanggungjawab kepada baginda dalam melaksanakan tugasnya.
Ini termasuk menjalankan pilihan raya, membuat pendaftaran pemilih
serta kajian semula persempadanan sebagaimana yang peruntukan di bawah
Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai sebuah badan bebas yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan
Persekutuan dan dilantik oleh YDPA untuk menjalankan tugas-tugas
tersebut, maka adalah wajar SPR menggunakan khidmat AG dalam pertikaian
undang-undang berkaitan,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Aziz meminta pihak tertentu supaya tidak
mengelirukan rakyat dan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan umum
berhubung kes di Sarawak.
Tambahnya, SPR adalah sebuah badan yang sentiasa bersikap bebas dan
tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dalam menjalankan tugas
serta peranan termasuk dalam soal persempadanan semula kawasan pilihan
raya. – BERNAMA