RAMADAN menjanjikan banyak kelebihan dan ganjaran. Antaranya amalan sunat diberi ganjaran pahala ibadat fardu, yang fardu diberi ganjaran 70 kali ganda. Demikian juga dalam bab sedekah.
Bagi umat Islam yang suka bersedekah, pastinya Ramadan sentiasa ditunggu-tunggu untuk mendapat kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW juga adalah insan yang paling dermawan. Sifat pemurah Baginda adalah berlipat kali ganda dalam bulan mulia ini berbanding bulan-bulan lain.
Ketahuilah bahawa Allah SWT melipatgandakan pahala orang yang bersedekah.
Ini dijelaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak. (al-Hadid: 18)
Seharusnya ini menjadi pemangkin kepada umat Islam untuk bersedekah terutama kepada golongan yang kurang bernasib baik. Sedekah itu pula bukan mesti banyak, sedikit pun mencukupi kerana yang penting adalah ikhlas.
Ingatlah ganjaran yang disebutkan oleh Nabi SAW yang bermaksud:
“Barang siapa memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikitpun dari pahalanya”. (Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi).
Oleh itu, marilah kita mengambil kesempatan Ramadan kali ini menyediakan juadah berbuka puasa kepada jiran atau pun saudara seagama. Ini boleh dilakukan secara bersendirian atau dengan mengambil giliran menyumbang wang kepada masjid atau surau menyediakan juadah berbuka puasa.
Bagi yang berkebolehan membuat kuih apa salahnya hadiahkan sepiring kepada jiran tetangga. Bagi yang tidak sempat memasak, apa kata mulai tahun ini beli lebih sedikit kuih muih atau makanan untuk disedekahkan kepada orang berbuka puasa.
Bayangkan kegembiraan orang yang berbuka puasa itu lebih-lebih lagi bagi mereka yang bermusafir dan singgah di masjid atau surau kariah kita.
Alangkah baik jika kempen derma minimum RM1 turut dipromosi kepada setiap jemaah masjid dan surau. Ini bertujuan menyuburkan budaya bersedekah dalam kalangan umat Islam terutamanya kanak-kanak.
Ingatlah setiap kebajikan yang kita lakukan walau sebesar zarah akan diperlihatkan ganjarannya di akhirat kelak. Lebih penting lagi, kita menghayati sabda Nabi SAW yang bermaksud:
Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Tangan di atas adalah orang yang memberi dan tangan yang di bawah adalah orang yang meminta. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Selain itu, keutamaan bersedekah yang lain adalah:
- Sedekah dapat menghapus dosa. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api”. (Riwayat Tirmidzi)
- Orang yang bersedekah mendapat naungan di hari akhirat. Nabi SAW dalam sabdanya menyebut antara tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di akhirat kelak ialah:
“Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sampai-sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya”. (Riwayat Bukhari)
- Sedekah memberi keberkatan pada harta. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Harta tidak akan berkurang dengan sedekah...” (Riwayat Muslim)
Jika tidak mampu menyumbang harta, setidak-tidaknya berusahalah menyumbang tenaga dan fikiran dengan mengajak orang sekeliling melakukan kebaikan. -Kedahnews.com
Sumber: Utusan