KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang berunding
dengan perompak untuk membebaskan kesemua 22 krew kapal MT Orkim
Harmony.
Perkara itu dimaklumkan oleh Panglima Wilayah Laut 1 Laksamana Muda
Datuk Azahari Abdul Rashid ketika dihubungi Bernama hari ini.
Kapal tangki MT Orkim Harmony yang hilang sejak Khamis lalu, disahkan
ditemui di perairan Kemboja hari ini dengan kesemua 22 anak kapalnya
selamat.
TLDM menerajui operasi menyelamat kapal tangki itu susulan pesawat
P3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia mengesan kapal berkenaan
di lokasi 210 batu nautika utara Pulau Redang pada 3.45 petang semalam.
Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai
RM21 juta dilaporkan hilang pada 8.57 malam pada Khamis lepas ketika
dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.
Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa
22 anak kapal terdiri 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang
Myanmar. – BERNAMA