Gunung Kinabalu yang didakwa miliki "semangat" tertentu oleh masyarakat Kadazan Dusun |
ALOR SETAR - Seramai tujuh pelancong asing yang bertindak berbogel di atas puncak Gunung Kinabalu
baru-baru ini akan didakwa di mahkamah kerana melanggar peraturan yang
telah ditetapkan oleh penduduk tempatan di sana.
Menurut Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-taman Sabah, Datuk
Seri Dr Tengku Zainal Adlin Tengku Mahmood, pelancong-pelancong terbabit
kini berada di bawah tahanan polis dan mereka bakal dihadapkan ke
mahkamah dalam masa terdekat ini.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi kepastian sama ada
pelancong-pelancong itu akan didakwa sama ada mahkamah di Kota Kinabalu
atau pun di Kundasang.
Sebanyak 19 kematian direkodkan ekoran kejadian gempa bumi yang
melanda Gunung Kinabalu, Jumaat lalu.
Kebanyakan masyarakat Kadazan Dusun yang ditemui pihak media percaya
kejadian gempa itu adalah disebabkan perbuatan biadap dan tak senonoh
pelancong asing yang berbogel dan membuang air merata-rata sehingga
menyebabkan ‘semangat’ gunung itu marah dengan insiden tersebut.
Gunung itu digelar Akinabalu oleh penduduk tempatan yang bermaksud
sebagai kawasan persemadian bagi mereka yang sudah meninggal dunia.
Datuk Seri Dr Tengku Zainal Adlin Tengku Mahmood |
“Kadazan Dusun sudah lama menganggap gunung ini sebagai suci dan mempunyai semangatnya yang sendiri.
“Mereka sehingga ke hari ini masih lagi percaya gunung ini suci dan
setiap hujung tahun mereka mengadakan ritual kepercayaan untuk mendapat
keizinan bagi mendaki gunung itu untuk tahun seterusnya.
“Mereka (pelancong asing) tidak menghormati kepercayaan penduduk
setempat. Ianya sangat wajar mereka dikenakan hukuman di atas kesalahan
tidak menghormati dan melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh
masyarakat di sini,” katanya.
Walaupun beragama Islam, Zainal percaya dengan ‘semangat’ yang ada di
Gunung Kinabalu memandangkan beliau juga mempunyai pengalaman
tersendiri dengan gunung paling tertinggi di Asia Tenggara itu.
Ritual kepercayaan yang diadakan pada saban tahun itu melibatkan
tujuh ayam kampung disembelih termasuk tujuh helai daun kaduk dan kapur
dipersembahkan kepada ‘semangat’ tersebut.
Menurut Zainal, nombor tujuh merupakan nombor yang mempunyai
kepentingannya yang tersendiri dalam kepercayaan agama di masyarakat
Kadazan Dusun lama. - Kedahnews.com