Tun M "Arah" Kerajaan Beri Tekanan Pada Myanmar

Tun Dr Mahathir Mohamad.
ALOR SETAR – Malaysia perlu tegas memberi tekanan kepada Myanmar untuk menangani isu pemerdagangan manusia dan kemasukan pendatang etnik Rohingya ke negara ini, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN seharusnya membawa isu ini ke peringkat ASEAN kerana ia merupakan masalah yang perlu diselesaikan sendiri oleh Myanmar dan bagi mengelakkan negara anggota ASEAN yang lain terheret sama dengan isu itu.

“Kita (Malaysia dan ASEAN) hanya mampu memberikan bantuan sementara kepada pelarian Rohingya ini dan selepas itu mereka perlu dihantar balik semula ke negara mereka kerana jika tidak, ia akan menimbulkan masalah kepada negara ASEAN.

“Kalau dia (Myanmar) buat macam ini, timbul masalah kepada negara ASEAN yang lain. Ini dia (Myanmar) punya masalah, tak bolehlah bunuh orang sendiri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Baru-baru ini, Dr Mahathir berkata Myanmar patut keluar daripada ASEAN sekiranya negara itu terus menerus bertindak kejam terhadap pelarian Rohingya yang disifatkannya melanggar hak asasi manusia.

Beliau berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN hanya dapat memberi bantuan setakat yang mampu tetapi masyarakat antarabangsa perlu turut sama memikul beban secara bersama dalam hal ini dengan menghulurkan bantuan sewajarnya.

“Sekiranya semua negara ASEAN bersepakat, kata putus mampu dicapai untuk menangani isu ini,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir dalam program sembang bersama pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid di sini, berkata bahasa Inggeris perlu dikuasai oleh semua pelajar sekolah mahupun institut pengajian tinggi memandangkan ia membolehkan negara ini setanding dengan negara maju.

Beliau memberi contoh iaitu ketika menjadi perdana menteri, beliau telah memperkenalkan bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran subjek Matematik dan Sains di sekolah.

“Malah (ilmu matematik dan sains) sentiasa berubah setiap masa berbanding subjek Sejarah yang kekal sebagai fakta. Pada masa sama kita juga mahu memperkenalkan kebudayaan dan bahasa kita (bahasa Malaysia) kepada dunia, tapi penekanan harus diberikan terhadap penguasaan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian,” katanya. – BERNAMA