Tun M Gesa Generasi Muda Jangan Ubah "You" jadi "U, "For" Jadi "4"

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan pertandingan penulisan dan foto bertemakan 'Empowering Youth For a Better ASEAN' dengan kerjasama Maybank Berhad di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menggesa generasi muda agar memelihara seni penulisan dan “dengan serius kembali kepada menulis secara sempurna”.

Dr Mahathir, seorang penulis prolifik sejak zaman pelajarnya, mendapati generasi muda hari ini gemar menulis dengan menyingkatkan perkataan, menekankan kepada bunyi dan tidak pada ejaan.

“Misalnya, perkataan (Inggeris) ‘for’ dipendekkan kepada ‘4’ (four) sementara ‘you’ kepada hanya ‘u’. Memang menyeronokkan kerana kamu boleh mengirim mesej panjang secara ringkas, dipadatkan kepada jumlah huruf yang sedikit.

“Tetapi bila masa berlalu, akan hilang seni penulisan yang bernilai,” katanya.

“Saya harap golongan muda kembali kepada penulisan yang sempurna…Saya syorkan kita perlu menguasai seni penulisan dan seni perhubungan,” kata beliau selepas melancarkan Pertandingan Penulisan dan Foto Yayasan Maybank-Yayasan Kepimpinan Perdana kedua di sini.

Dengan tema “Empowering Youth for a Better ASEAN” (Memperkasa Belia untuk ASEAN lebih Cemerlang), pertandingan itu mencabar belia Malaysia berumur antara 13 dan 21 tahun mengemukakan penyertaan esei, fiksyen dan foto-esei, dari sekarang hingga 16 Sept.

Hadiah utama pertandingan itu termasuk wang tunai USD2,500, baucer Macbooks, buku MPH serta ‘E-Book Readers’.

Pemenang akan berpeluang bertemu dengan penulis serta wartawan foto terkenal di acara penyampaian hadiah pada November.

Pengarah eksekutif Yayasan Kepimpinan Perdana Tan Sri Nik Mohamed Nik Yaacob berkata tidak ada had jumlah penyertaan daripada seseorang peserta.

Penyertaan boleh dikemukakan dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris.

Bagi esei, ia terbahagi kepada dua kategori. Kategori A berjudul ‘The Most Important Leadership Lessons I Learnt in School’ (350-500 perkataan) untuk golongan remaja berumur antara 13 dan 17 tahun, sementara Kategori B berjudul ‘Volunteering Makes Us Better Leaders (750-1,000 perkataan) untuk kumpulan berusia 18-21 tahun.

Untuk fiksyen, Kategori A (13-17 tahun) bertajuk ‘Heroism’ (350-500 perkataan), sementara Kategori B (18-21 tahun) bertajuk ‘Courage’ (750-1,000 perkataan).

Bagi foto esei dengan judul ‘ASEAN Youth in Action’, penyertaan ialah bagi tiga hingga lima foto untuk kategori usia 13-17 tahun dan lima ke tujuh foto untuk (18-21 tahun).

Untuk maklumat lanjut, layari http://www.maybankperdanacontest.com – BERNAMA