Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad |
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tindakan memburuk-burukkan nama Malaysia di media antarabangsa sering dilakukan Anwar dan kini Dr Mahathir mengulangi perbuatan tersebut.
“Biar apapun tindakan Dr Mahathir sudah pasti akan merugikan Melayu dan UMNO. Dr Mahathir telah memilih untuk melihat Melayu dan MNO berkecai. Kalau itulah pilihannya, maka Dr Mahathir akan dikenang sebagai tokoh yang merosakkan UMNO dan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Mustapha turut menyatakan bahawa Dr Mahathir yang dulunya banyak berjasa kepada negara sepanjang pentadbirannya selama 22 tahun sudah tidak lagi sayang pada negara, bangsa Melayu dan parti yang beliau pimpin dahulu, UMNO.
Kesal dengan tindakan Dr Mahathir yang tergamak menyerang kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, beliau menyatakan bahawa kelakuan tersebut turut merendahkan martabat negarawan tersohor itu.
Katanya, tindakan negarawan itu mampu menyebabkan kepada ketidakstabilan negara dan bakal meruntuhkan kuasa Melayu di negara ini.
"Veteran tidak menyangka Dr Mahathir sanggup merendahkan martabatnya sebegitu rupa semata-mata kerana marah dan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
"Beliau sudah tidak sayang lagi kepada negara ini dan mahu melihat politik negara ini tidak stabil. Beliau juga sudah tidak sayangkan bangsa Melayu dan mahu melihat Melayu terus berpecah dan menjadi minoriti dalam majoriti.
"Malah tindakan Dr Mahathir akan membuka jalan kepada runtuhnya kuasa Melayu di negara ini," tegasnya lagi.
Dr Mahathir sebelum ini mendakwa tindakannya menyerang Perdana Menteri atas alasan "kebenaran dan demi rakyat".
Bagaimanapun, Mohd Najib mendedahkan bahawa serangan bertali arus mantan Perdana Menteri itu terhadapnya adalah gara-gara beliau enggan menjadi "boneka" Dr Mahathir dan menurut permintaannya yang bersifat peribadi, bukan kerana rakyat. -Kedahnews.com