Bagi kebanyakan orang, bangunan usang yang ditinggalkan hanya merosakkan pemandangan dan menyakitkan mata.
Namun, bagi seorang artis kelahiran Hawaii, Sean Yoro bangunan seperti itu umpama kanvas bagi melukis hasil seni yang menakjubkan.
Yoro atau lebih dikenali dengan nama Hula menukar bangunan usang yang terendam di dalam air di Amerika Syarikat kepada pelbagai lukisan menarik.
Sambil membawa cat dan mengimbangi diri di atas papan luncur, Hula melukis wajah dan badan wanita pada dinding bangunan berkenaan.
Kebanyakan gambar wanita itu turut mempunyai lambang dan corak puak orang asli pada tubuh mereka.
Imej menakjubkan yang dilukis Hula menceriakan kembali bangunan yang dibiarkan usang dan buruk sejak beberapa tahun.
Bagi pengunjung, lukisan berkenaan memberi mereka ketenangan.
Beberapa imej yang dilukis Hula menunjukkan kepala wanita, umpama muncul dari air dan satu imej kelihatan seperti wanita sedang berenang.
Hula terpaksa mengayuh papan luncurnya untuk pergi setiap bangunan sambil membawa cat dan berus.
Kadang-kala Hula terpaksa mengimbangi diri di atas papan luncur hingga empat jam pada satu masa untuk menghasilkan imej tampak hidup itu.
Hula turut membuat rakaman video yang menunjukkan cara dia melukis dan menambah lapisan warna untuk menjadikan wajah wanita itu seolah-olah hidup.
Kata Hula, dia tidak boleh memberitahu di mana imej itu dilukis kerana dia sering kali tidak mendapat kebenaran untuk melakukannya.
Selain menghasilkan seni mural pada dinding bangunan, Hula turut melukis di atas cebisan kanvas berskala kecil dan papan luncur. - Agensi