PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri
Datin Seri Rosmah Mansor malam ini berbuka puasa bersama para ulama,
umara dan pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam di kediaman
rasminya, Seri Perdana di sini.
Selesai berbuka, Perdana Menteri bersama hampir seribu tetamu
menunaikan solat Maghrib berjemaah serta solat tarawih diimamkan oleh
imam jemputan Masjid Wilayah dari Syria, Sheikh Rami Al-Badawi.
Perdana Menteri dan isteri turut menyampaikan sumbangan hari raya
kepada 110 anak yatim, pelajar tahfiz, warga emas dan ibu tunggal.
Pada majlis itu, Najib menerima memorandum daripada 106 NGO Islam
dari seluruh negara yang menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan
beliau untuk terus menerajui negara.
Memorandum itu disampaikan oleh Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Jais Abdul Karim.
Memorandum itu turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar
menghentikan segala spekulasi dan tohmahan liar terhadap Najib serta
tidak mudah percaya dengan fitnah yang disebarkan terutama menerusi
media sosial. – BERNAMA