"UMNO Bukan Macam DAP" - Ku Nan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata, beliau tidak mahu bersikap macam budak kecil bertindak balas dalam isu struktur logo UMNO di ibu pejabat UMNO negeri Pulau Pinang.

Ini ekoran ada desakan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan sama terhadap papan tanda parti DAP di Hotel Wenworth di Pudu yang didakwa turut tiada permit dan tidak pula mengikut peraturan.

Semua ini gara-gara Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di bawah kerajaan DAP Pulau Pinang pada Jumaat lalu bertindak merobohkan struktur perkataan UMNO di depan bangunan UMNO Pulau Pinang di George Town.

Bangunan ibu pejabat DAP di Pudu, Kuala Lumpur yang turut dipercayai menempatkan ramai cybertroper Red Bean Army bagi menghasut rakyat benci BN. – Gambar hiasan

Tindakan MBPP itu mencetuskan kemarahan kalangan aktivis UMNO yang mendakwa DAP sengaja ‘hendak cari pasal’ walaupun banyak struktur haram dibina bukan Melayu dan mengganggu lalulintas tidak pula dirobohkan.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan ditemui wartawan semasa satu majlis yang dihadiri Perdana Menteri di Masjid Negara pada Ahad berkata, setakat ini beliau tidak begitu jelas mengenai isu tersebut.

Serentak dengan itu, beliau telah mengarahkan DBKL untuk mengeluarkan surat kepada semua badan politik bagi memohon permit sah untuk pemasangan papan tanda parti mereka di ibu negara dalam tempoh dua minggu.

Sekumpulan anggota penguatkuasa MBPP mencabut perkataan UMNO di ibu pejabat negeri parti umat Islam Melayu tertua di Malaysia; yang didakwa melanggar undang-undang. – Gambar hiasan
Jika ingkar, mereka akan diminta untuk menurunkan sendiri papan tanda berkenaan, malah Tengku Adnan berkata negara ini ada undang-undang dan semua orang kena patuh tidak kira sama ada UMNO atau DAP.

Sementara itu Pemuda UMNO Melaka, Puteri UMNO dan beberapa NGO menganjurkan satu demonstrasi secara aman di hadapan ibu pejabat DAP Melaka di bandar raya itu kerana didakwa tidak ikut peraturan ditetapkan.

Portal berita AgendaDaily melaporkan, Exco Pemuda UMNO, Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, papan iklan DAP Negeri Melaka gagal memaparkan nombor rujukan lesen Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).



Sekumpulan aktivis UMNO mengadakan perhimpunan aman di depan ibu pejabat DAP Melaka yang bebas memasang papan tanda walaupun tiada nombor rujukan MBMB. – Gambar hiasan
 “Ia jelas melanggar peraturan papan iklan yang telah ditetapkan pihak MBMB. Jika mereka tidak letak nombor rujukan lesen seperti premis lain, kita boleh persoal adakah DAP Melaka punyai lesen papan iklan yang sah.

“Kami berharap agar tindakan tegas dan cepat akan diambil terhadap ketidakpatuhan ini,” katanya yang juga kesal kerana papan tanda itu tidak memberi keutamaan kepada bahasa Malaysia. – Agensi