Usahawan Restoran Halal Malaysia Dipelawa Rebut Peluang Di Bangkok

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (enam dari kiri) bersama Pengerusi ShowDC Ltd Chayaditt Hutanuwatra (tujuh dari kiri) dan delegasi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia di sini hari ini. - Foto BERNAMA
BANGKOK – Pengusaha restoran Malaysia dipelawa membuka restoran halal di Show DC, projek pembangunan daerah pusat perniagaan terbaru di Bangkok, yang dijangka siap April tahun hadapan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan mengaturkan rombongan pengusaha restoran yang berminat untuk berjumpa dengan pemaju projek tersebut, ShowDC Ltd.

Pemaju Show DC mengakui kualiti jenama halal Malaysia, kata beliau yang ditemui selepas melawat tapak pusat perniagaan itu di sini hari ini.

Mustapa berkata projek yang melibatkan kos US$200 juta di kawasan seluas 4.64 hektar itu, memberi tumpuan untuk menarik pelancong terutama dari China dan India.

Show DC akan mengandungi lebih daripada 800 kedai dan restoran serta 1,300 ruang meletak kereta dan 100 tempat meletak bas.

ShowDC Corp Ltd merupakan anak syarikat AEC Capital Company Ltd, syarikat usaha sama antara pelabur Thai dan enam pelabur dari Malaysia.

Mustapa berada di sini sempena lawatan dua hari bermula hari ini bagi menghadiri mesyuarat kedua Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Thailand esok.

Antara agenda mesyuarat itu ialah peningkatan kemudahan perdagangan dan pelaburan, zon ekonomi khas dan kerjasama halal termasuk pembentukan Majlis Perniagaan Halal Malaysia-Thailand. – BERNAMA