Usul Putus Hubungan Dengan DAP: Mujahid Rawa Sanggah Abdul Hadi

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa
ALOR SETAR - Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa membidas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan usul memutuskan hubungan parti itu dengan DAP yang diterima sebulat suara pada Muktamar PAS kali ke-61 baru-baru ini.

Mujahid berkata, muktamar PAS adalah peringkat "pembuat keputusan tertinggi" berdasarkan perlembagaan parti itu dan sebarang ketetapan dibuat ketika muktamat diadakan adalah muktamad.

"Artikel 7 dalam parti Perlembagaan menyatakan muktamar adalah badan pembuat keputusan tertinggi dan ini bermaksud keputusan tersebut sudah dimuktamadkan iaitu memutuskan hubungan dengan DAP," katanya dalam satu kenyataan di lobi parlimen, semalam.

Kenyataan tersebut adalah bertentangan dengan kenyataan Abdul Hadi sebelum ini yang menegaskan bahawa usul berkenaan dipersetujui sebulat suara itu akan dibawa ke sidang Majlis Syura parti untuk dibahas dan diputuskan dalam masa yang terdekat.

"Usul itu sebenarnya diterima untuk dibawa ke Majlis Syura dan tidak buat keputusan di dalam muktamar," kata Abdul Hadi.

Usul tergempar yang dibentangkan Dewan Ulama untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP diterima tanpa bahas di muktamar PAS minggu lalu menyaksikan para perwakilan bertakbir sejurus usul berkenaan dipersetujui secara sebulat suara.

Walaupun beberapa pemimpin PAS menjelaskan bahawa usul memutuskan hubungan dengan DAP masih belum dimuktamadkan Majlis Syura dan AJK PAS Pusat, namun ia ditolak Mujahid yang tetap menegaskan muktamar pembuat keputusan paling tinggi dalam parti tersebut.

"Lihat usul tersebut, ia bukan untuk membawa perkara tersebut untuk perhatian mereka, namun sedia untuk memutuskan pertalian dengan DAP," katanya lagi.

Pun begitu, Mujahid yang tewas gagal mempertahan jawatan AJK PAS Pusat pada pemilihan PAS itu sempat menyindir  kepimpinan partinya dan menyifatkan pemahamannya mengenai Perlembagaan parti mungkin tidak seluas mereka.

"Saya kemungkinan tidak faham Perlembagaan sebaik mereka. Jadi pergilah tanya mereka. Ianya tidak menyatakan cadangan untuk pihak jawatankuasa tapi gesaaan jawatankuasa dan Majlis Syura untuk memutuskan tahaluf siyasi.

"Jika mereka bincang perkara ini, ia mestilah bagaimana untuk melaksanakan (memutuskan tahaluf siyasi) bukan berpatah balik keputusan tersebut," kata bekas AJK PAS Pusat itu.

Mujahid kelmarin mengikut jejak langkah bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, telah mengumumkan akan meletakkan jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang susulan tindakan Dewan Ulama memutuskan hubungan dengan DAP.

Meskipun usul tersebut diluluskan dalam muktamar lalu, namun Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali baru-baru ini menyatakan ianya masih belum muktamad kerana terletak kepada keputusan Majlis Syura.

Selain itu, Mujahid mengakui kini beliau bersedia untuk menerima sebarang tindakan dari PAS jika partinya itu memutuskan peletakan jawatannya di Pulau Pinang adalah salah.

"Jika terdapat perkara salah dengan apa saya lakukan dengan melakukan langkah membelakangi parti, jadi mereka perlu mengambil tindakan disiplin terhadap saya," tegasnya. -Kedahnews.com