VIDEO: Lagi Kes Buli Pelajar, Ketua Blok Asrama Jadi Mangsa

ALOR SETAR - Sebelum ini, satu kes melibatkan seorang pelajar kolej vokasional di Kelantan yang meninggal dunia selepas dikatakan telah dibelasah oleh pelajar senior telah menggemparkan seluruh negara.

Namun bagaikan tiada titik kesudahan, satu lagi kes buli melibatkan para pelajar asrama di sebuah kolej vokasional telah dimuat naik di laman sosial Facebook, baru-baru ini.

Kali ini, kes berkenaan didakwa melibatkan para pelajar Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan di Bentong, Pahang.

Menurut pemilik akaun Facebook, Adam Aki, yang memuat naik video tersebut, kejadian melibatkan anak kepada rakannya yang dibelasah oleh pelajar lain disebabkan mangsa membuat aduan kepada pihak asrama ekoran banyak almari dipecahkan.

Adam Aki juga mendakwa bahawa pelajar yang menjadi mangsa buli di dalam klip video berkenaan merupakan seorang ketua blok asrama.

Video berdurasi 21 saat menunjukkan mangsa yang tidak berbaju dipukul oleh dua pelajar yang memakai baju Melayu berwarna putih dan biru.

Turut kelihatan, seorang pelajar berbadan besar berseluar hampir terlondeh sehingga menampakkan celah ‘mahligainya’ ikut sama bersubahat menarik mangsa untuk dipukul.

Difahamkan bahawa pihak polis telah pun menahan ketiga-tiga pelajar yang merupakan suspek di dalam video tersebut.

Ketiga-tiga mereka yang masing-masing berumur antara 15 dan 16 tahun ditahan selepas diserahkan bapa masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong. -Kedahnews.com