KUALA LUMPUR - Rakaman video sebuah kereta merempuh kereta peronda polis sebelum memecut melarikan diri yang dirakamkan melalui kamera 'dashboard' sebuah kenderaan lain menjadi viral di media sosial.
Video itu menunjukkan sebuah kereta polis dipandu di lorong kiri dan
kereta yang merakamkan kejadian dipandu di sebelah kanan di jalan raya
dua lorong.
Kereta Volkswagen Polo yang dipandu laju tiba-tiba dilihat memotong
kereta berkenaan di lorong kiri dan tidak dapat mengelak daripada
melanggar kereta polis di hadapannya di lorong yang sama.
Kereta polis yang dirempuh tidak dapat dikawal dan berpusing beberapa kali sebelum merempuh penghadang jalan.
Volkswagen Polo itu kemudian itu tidak berhenti sebaliknya terus memecut dari tempat kejadian.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi
Superintendan S Markandan berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul
8.55 pagi Isnin.
"Dua anggota polis peronda berada di Jalan Pudu sedang menuju ke arah
bandar raya apabila sebuah Volkswagen Polo dilaporkan hilang kawalan dan
merempuh ke arahnya.
"Perlanggaran itu menyebabkan kereta polis berpusing sebelum ia
melanggar penghadang," kata beliau sambil menambah kedua-dua anggota
polis dalam kenderaan itu mengalami kecederaan ringan.
Beliau berkata, pelajar kolej berusia 21 tahun yang memandu Volkswagen itu melarikan diri tetapi membuat laporan polis pada hari yang sama.
Markandan berkata kes itu disiasat kerana memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah. -mStar