VIDEO: Samseng Jalanraya Tarik Rambut, Hentak Muka Warga Emas?


HANYA kerana tidak memberi laluan ketika ingin dipintas, seorang pemandu samseng telah bertindak biadab menarik rambut serta menolak muka seorang warga emas di tengah jalanraya.

Kejadian ini menjadi bualan ramai sejak semalam selepas sebuah klip video yang dikatakan telah dirakam berlaku di kawasan Summit USJ, Petaling Jaya tersebar secara meluas di laman-laman sosial.

Berdasarkan video berdurasi 3 minit 56 saat, insiden tersebut bermula setelah kedua-dua kenderaan berhenti lantas pemandu kereta datang ke kereta hadapan dan mula menengking pemandunya yang merupakan warga emas.

Ia menjadi semakin buruk apabila pemandu terbabit bertindak menarik rambut dan menghentak muka mangsa sebanyak dua kali tanpa belas kasihan.

Tidak dapat dipastikan berkenaan nombor plat kenderaan lelaki samseng itu sama ada ia didaftarkan di Malaysia atau di negara jiran, Singapura.


Perkara ini membuatkan pengguna jalan raya yang lain berhenti lalu salah seorang yang kasihan dengan nasib mangsa datang ke arah pemandu samseng terbabit dan menegurnya.

Apabila semakin ramai yang mengerumuni tempat kejadian pemandu samseng itu dan ahli keluarganya kembali masuk ke dalam kereta lalu memecut meninggalkan lokasi kejadian.

Walaupun video berkenaan tidak mempunyai audio, ramai beranggapan ia terjadi kerana pemandu samseng itu tidak puas hati apabila tidak dapat memotong kenderaan warga emas berkenaan.

Namun apa pun alasannya, apakah mewajarkan warga emas yang kami kira berbangsa Cina itu diperlaku sedemikian rupa?

Kami yakin, Islam pun tidak menganjurkan umatnya berakhlak mazmumah seperti tu, kan? -Kedahnews.com