PUTRAJAYA – Beberapa kementerian dan jabatan berminat mengikut jejak
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)
melaksanakan Aturan Kerja Anjal (FWA), kata Menterinya Datuk Seri Rohani
Abdul Karim.
Beliau berkata maklum balas daripada pelaksanaan FWA fasa pertama
kementeriannya pada 16 Mac hingga 31 Mei adalah positif dan memberi
manfaat kepada 95 warga kementerian yang menyertainya.
“Sehubungan itu, pengurusan tertinggi KPWKM bersetuju FWA Fasa II
diteruskan,” katanya, sambil menambah program fasa kedua dilaksanakan
mulai 1 Jun hingga 31 Ogos.
Rohani pada perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini
berkata pihak urus setia FWA sedang dalam proses menambah baik hasil
maklum balas peserta fasa pertama.
Terdapat tiga pilihan kepada kaedah pelaksanaan FWA mengikut
kesesuaian dan keperluan iaitu Bekerja dari Rumah (BDR), masa kerja
anjal (Flexible Working Hours) (FWH) dan waktu bekerja mingguan yang
diubah suai (Modified Compressed Work Week) (Mod-Week).
Bagi BDR, pegawai diberi fleksibiliti untuk melaksanakan tugas dalam waktu pejabat di rumah sehari dalam seminggu.
Bagi kaedah FWH, pegawai/kakitangan diberi fleksibiliti untuk hadir
lewat dan pulang awal mengikut waktu bekerja masing-masing dan memenuhi
jumlah tempoh waktu bekerja 38 jam dan 30 minit dan perlu berada di
pejabat pada waktu teras iaitu dari 10 pagi hingga 3.30 petang.
Bagi Mod-Week pula kakitangan diberi fleksibiliti untuk pelepasan
awal pada hari Jumaat dan datang lewat pada hari Isnin dengan
penggantian masa dibuat pada hari-hari lain.
Sementara itu, Rohani berkata waktu kerja anjal akan dilaksanakan
pada bulan Ramadan yang warga kementerian itu boleh pulang lebih awal
sepanjang bulan puasa itu.
Beliau berkata warga kementerian dibenarkan bekerja semasa waktu
rehat dan pulang sejam lebih awal daripada waktu bekerja anjal pilihan
sedia ada masing-masing.
“Saya berharap menerusi kaedah ini, warga kerja yang terlibat akan
dapat memanfaatkan sepenuhnya masa rehat masing-masing sepanjang bulan
Ramadan di samping mengekalkan produktiviti organisasi,” katanya, sambil
menambah bahawa waktu kerja anjal sepanjang Ramadan itu juga terbuka
kepada semua warga kementerian termasuk yang bukan Islam.
Pada majlis itu, Rohani turut melancarkan logo baharu kementerian
yang bermotifkan bunga cenderawasih dengan slogan ‘Keluarga Bahagia,
Negara Sejahtera’.
“Saya berharap kemunculan logo dan tagline baharu ini dapat menyuntik
semangat baharu dalam kalangan warga kerja dalam melaksanakan
penjenamaan semula kementerian bagi memastikan KPWKM terus relevan dan
berkembang,” katanya. – BERNAMA