ALOR SETAR – Wanita-wanita Rohingya yang ditahan di kem transit
sindiket pemerdagangan manusia di Padang Besar, Thailand diperlakukan
persis hamba seks.
Mereka menjadi mangsa rogol beramai-ramai oleh pengawal kem berkenaan.
Pendedahan itu dibuat oleh seorang wanita Rohingya, Nur Khaidha Abdul
Shukur, 24, yang ditahan selama lapan hari bersama anaknya yang baru
berusia beberapa bulan di kem transit itu.
“Setiap malam, dua atau tiga wanita muda Rohingya yang agak cantik,
akan dibawa keluar dari kandang tahanan dan dibawa ke tempat tersembunyi
oleh pengawal-pengawal kem itu.
“Wanita itu dirogol beramai-ramai oleh mereka (pengawal kem), malah
di dalam kem itu, ada dua wanita muda yang telah mengandung dipercayai
akibat perbuatan pengawal itu,” katanya kepada wartawan Bernama menerusi penterjemah di sini Isnin.
Menurut Nur Khaidha, ada juga di antara wanita-wanita itu yang
“dibawa” oleh pengawal-pengawal kem berkenaan selama beberapa hari untuk
menjadi mangsa kebuasan seks mereka.
“Mereka (wanita) akan ‘hilang’ selama dua hingga tiga hari selepas
dibawa oleh pengawal itu. Selepas mereka dikembalikan ke kandang, saya
tidak bertanya tetapi saya tahu apa yang telah terjadi kepada mereka.”
“Dari raut wajah mereka, kita tahu,” katanya dan menambah,
wanita-wanita yang ditahan dalam kandang itu tidak dibenarkan bercakap
di antara satu sama lain, atau akan dipukul.
Kedua-dua wanita Rohingya yang mengandung dipercayai akibat dirogol
pengawal itu, kata Nur Khaidha, telah ditahan di kem transit itu lebih
daripada enam bulan.
Katanya, di dalam kem transit itu di mana beliau ditahan pada tahun
lepas, terdapat 15 wanita Rohingya mangsa sindiket itu, dengan lima
daripada mereka mempunyai anak-anak kecil.
Kelima-lima yang mempunyai anak itu turut ditahan di dalam kandang
bersama-sama anak mereka, tetapi tidak diapa-apakan oleh pengawal
terbabit.
“Mungkin kerana kami mempunyai anak-anak kecil, maka
pengawal-pengawal tidak bertindak merogol kami. Tetapi walau apapun,
saya berdoa setiap hari agar tidak menjadi mangsa rogol mereka,”
katanya.
Nur Khaidha, yang berasal daripada Maungdaw, Myanmar memberanikan
diri menyeberangi Laut Andaman menaiki bot ke Malaysia bersama-sama anak
kecilnya untuk menjejaki suaminya.
Beberapa bulan sebelum itu, suaminya, Nurul Amin Nobi Hussein, 25,
telah menaiki bot dari Maungdaw ke Ranong, Thailand, dalam usahanya
untuk menjejakkan kaki di Malaysia.
Tanpa diketahui oleh isterinya, beliau turut ditahan oleh sindiket
pemerdagangan manusia di kem transit mereka di Bukit Wang Burma, Wang
Kelian.
Berbanding Nur Khaidha yang ditahan selama lapan hari di kem transit
di Padang Besar, suaminya pula telah ditahan di kem di utara tanah air
itu selama 22 hari, sebelum nekad melarikan diri.
Nurul Amin yang kini bekerja di sebuah bengkel di Alor Setar berkata,
keinginan mencari kehidupan yang lebih baik membuat beliau, isteri
serta anak lelaki mereka bertaruh nyawa menaiki “bot-bot maut” ke
Malaysia.
Sama seperti yang didedahkan oleh isterinya, Nurul Amin turut menceritakan kisah wanita Rohingya itu dirogol.
“Pada waktu malam, beberapa pengawal akan datang ke kandang-kandang
yang menempatkan wanita itu dan menarik keluar mereka ke suatu tempat
berdekatan.
“Kami mendengar teriakan dan tangisan wanita-wanita itu kerana tempat
di mana mereka dirogol amat hampir dengan kandang kami…cuma kami tidak
dapat melihat,” katanya.
Kini hampir setahun berlalu, Nurul Amin dan isterinya, bersyukur
kerana telah bebas dari azab dan sengsara di kem-kem pemerdagangan
manusia.
Mereka tekad memulakan hidup baru. – BERNAMA