Wanita Tuduh Nik Abduh Lupa Diri, Bongkak, Hina Wanita?

Pemimpin Wanita DAP, Kasthuri Patto
KUALA LUMPUR – Pemimpin Wanita DAP, Kasthuri Patto kesal dengan kenyataan Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang didakwa menghina kaum wanita.

Kata beliau, kenyataan Nik Mohamad Abduh bahawa DAP sebuah parti pengecut ibarat perempuan berbaur seksis sekali gus menunjukkan kekolotan minda pemimpin muda PAS tersebut.

“Kenyataan dibuat dengan niat dan sangkaan buruk terhadap kaum wanita mencerminkan perwatakan Nik Mohamad Abduh sebagai seorang yang kuno pemikirannya.

“Mungkin beliau sudah lupa diri sehingga mempertuhankan ideologi patriarki dan dengan bongkak mengeluarkan kenyataan bahawa PAS bersifat jantan dan DAP bersifat perempuan walaupun perbandingan itu tidak masuk akal langsung,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kasthuri berkata, DAP tidak perlu membuktikan apa-apa berhubung tentang tuduhan berbaur seksis tersebut kerana Nik Mohamad Abduh dikatakan "baru setahun jagung" dalam arena politik.

Beliau turut menegur Nik Mohamad Abduh bahawa agama Islam mengajar wanita dihormati dan dilindungi.

“Janganlah pula Ketua Pemuda PAS termakan dengan umpan sesetengah pihak bagi menyelerakan nafsu jahil mereka bak kata pepatah habis cupak dari pelelehan,” katannya.

Beliau turut meningatkan jumlah pengundi wanita pada pilihan raya umum yang lalu seramai 6,664,474 atau 50.23 peratus berbanding pengundi lelaki 6,603,528 atau 49.77 peratus.

“Ini bererti peratusan keluar mengundi dalam PRU 13 menunjukkan lebih ramai pengundi wanita telah keluar membuang undi berbanding dengan lelaki dan kenyataannya itu telah mengkhianati kepercayaan semua pengundinya,” katanya.

Media semalam melaporkan Nik Mohamad Abduh mengejek DAP sebagai parti yang pengecut kerana tidak berani berpisah dengan PAS.

Justeru, beliau mahu DAP menjadi parti bersifat `jantan’ dengan mengumumkan segera bahawa parti itu tidak lagi mempunyai sebarang hubungan PAS.

Nik Mohamad dipetik berkata, PAS ibarat parti `jantan’ manakala DAP sebuah parti `perempuan’ kerana PAS dengan berani mengumumkan tidak lagi akan bekerjasama dengan DAP. -Kedahnnews.com