Jenazah Che Darus selesai dituntut keluarga di Hospital Sultan Abdul Halim |
Kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, mangsa, Che Darus Hashim, 65, dikatakan bersama rakan berada di bawah sebatang pokok yang ditebang.
Mangsa yang ingin mengalihkan motosikal dikatakan gagal mengelak apabila pokok berkenaan secara tiba-tiba menghempap badannya.
Anak mangsa, Zurani, 43, berkata, sehari sebelum kejadian dia ada menerima panggilan daripada mangsa meminta dia membawa dua anaknya kerana rindukan mereka.
Menurutnya, mangsa mengatakan dia mengalami demam dan teringin sangat untuk jumpa anaknya, Mohd Danish Haikal, 6, dan Nur Dania Hani, 3, yang agak dengan mangsa.
"Saya telah berjanji untuk datang keesokan hari iaitu hari ini (kelmarin) selain ingin membawa bapa ke hospital.
“Bagaimanapun, tidak menyangka kehadiran kami hari ini (ke hospital) kerana perlu menguruskan jenazahnya,” katanya sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, kelmarin.
Selain itu, cucu mangsa, Nur Artika Zulkifli, 23, berkata, datuknya hanya berehat di rumah kelmarin kerana demam dan kurang bercakap berbanding sebelumnya.
“Sebelum keluar kerja pagi tadi, tok wan (mangsa) belum bangun kerana dia demam dan saya tidak berpeluang untuk bercakap dengan dia kerana dia lebih banyak berehat.
“Semasa tengah bekerja pagi ini (semalam), saya menerima panggilan tok wan ditimpa pokok dan terus ke hospital,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Pegawai Bomba Mohd Zaidi Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.50 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama lapan anggota menaiki sebuah jentera FRT Guar Chempedak 1.
Katanya, apabila sampai ke lokasi, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan telahpun dikeluarkan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke HSAH untuk dibedah siasat.
Sumber: Sinar Harian