Warga Emas Maut Kereta Dipandu Masuk Sungai Di Air Hitam


ALOR SETAR - Seorang warga emas maut selepas kereta Proton Wira yang dipandunya terbabas ke dalam sungai dekat Kampung Permatang Paku, Air Hitam, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5 petang itu menyebabkan Ismail Saidin, 64, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa gagal mengawal pergerakan keretanya ketika melalui kawasan itu sebelum terbabas ke tepi jalan dan masuk dalam sungai.

“Orang ramai yang menyedari kejadian itu segera memberi pertolongan termasuk menggunakan sebuah kren yang kebetulan melalui jalan itu untuk mengeluarkan kereta mangsa,” katanya.

Abd Rahim berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan lemas.

“Bagaimanapun, polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: Sinar Harian