Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia, Muslim Imran |
Muslim Imran telah menyambut Ramadan dan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan di Malaysia sejak 12 tahun lalu.
Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia ini begitu
tersentuh dengan keramahan yang ditunjukkan rakyat Malaysia kepadanya.
Namun beliau merasai satu kekesalan.
“Saya inginkan keluarga saya berada di sini untuk menyambut Ramadan
bersama saya, tetapi kami (rakyat Palestin) tidak dapat pulang kepada
orang tersayang kami kerana kesukaran yang dicetuskan pihak Israel,”
katanya.
Muslim berkata, proses imigresen yang dikenakan Israel menghalang kepulangannya ke tanah air sendiri.
Fikirannya sentiasa teringatkan keluarganya di Palestin setiap kali
beliau melihat masyarakat Islam Malaysia berbuka puasa bersama keluarga
masing-masing dan orang tersayang sama ada di rumah atau restoran.
Perasaan sunyi mula menyelubungi dirinya.
Namun Muslim mengaku kemesraan rakyat Malaysia membuatkannya melupakan perasaan duka.
Turut merasakan Malaysia seperti rumah sendiri ialah pegawai
perhubungan awam swasta dari Eritria, Othman Abdul Aziz, 30, yang telah
berada di negara ini sejak lima tahun lalu.
“Saya memang tersangat rindukan ibu dan rakan-rakan saya, tetapi
disebabkan kerja, saya terpaksa korbankan masa saya bersama mereka.
“Namun suasana Ramadan di Malaysia sangat mengujakan kerana setiap
orang berkumpul bersama sebagai satu keluarga besar untuk menikmati
bulan penuh bermakna ini,” katanya.
Othman mengaku menjalani bulan puasa boleh menjadi “sunyi dan kejam”
tanpa keluarga, tetapi layanan mesra rakyat Malaysia dapat mengubat rasa
rindu terhadap kampung halamannya.
“Saya mula menyukai tinggal di sini dari setahun ke setahun. Rakyat
Malaysia sentiasa sedia membantu dan sering menjemput saya dan
rakan-rakan saya ke majlis iftar (berbuka puasa),” katanya.
Pelajar kejuruteraan dari Syria, Mohammad Abdullatif, 29, sentiasa
menantikan kedatangan Ramadan di Malaysia kerana baginya terdapat
pelbagai jenis makanan semasa berbuka yang boleh dinikmati.
“Bagi saya, makanan di sini terutama semasa Ramadan sangat hebat
kerana saya boleh mendapat makanan kegemaran saya seperti martabak dan
nasi lemak,” katanya. – BERNAMA