KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah
dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah hari ini
dipersembahankan kek daripada hotel terkemuka sempena hari keputeraan
rasmi baginda Sabtu ini.
Sebanyak 30 biji kek pelbagai bentuk dan tema hasil tangan cef
terkemuka dari dalam dan luar negara dipersembahkan di Dewan Santapan
Istana Negara di sini.
Antara kek yang dipersembahkan ialah daripada Hotel Maya di sini yang
berupa kek buah-buahan bertemakan alat muzik tradisional Melayu seberat
40 kilogram berwarna jingga.
Cefnya Raymond Ling memberitahu Bernama kek buah-buahan itu mengambil
masa lebih sebulan untuk disiapkan dan dihasilkan menepati dengan
konsep hotel berkenaan yang mahu mengangkat seni warisan negara.
Hotel Rennaisance pula menpersembahkan kek berperisa coklat berbentuk singgahsana seberat 50 kilogram.
Cef hotel tersebut Hanafiah Ahmad berkata kek yang bertemakan
‘Fantasi Coklat’ itu menggunakan hampir semua bahan dan hiasan serta
warna yang digunakan berasaskan coklat dengan mengambil masa kurang
daripada sebulan untuk disiapkan.
Hotel Intercontinental mempersembahkan kek buah berkonsepkan pelancongan dengan tema ‘Melawat Malaysia 2015′.
Pengarah Komunikasi Pemasarannya Shirley Hoo memberitahu kek seberat
80 kilogram itu berbentuk bunga Rafflesia, penyu, dan Bangunan Stadhuys
di Melaka yang menggambarkan simbolik destinasi menarik negara untuk
dilawati.
Sementara Hotel Grand Millennium mempersembahkan kek coklat berbentuk
keret api laju yang dihasilkan sebagai melambangkan kecanggihan dan
kemajuan yang dikecapi negara di alaf baharu.
Cef Joas Kam berkata kek coklat yang berkonsep ‘millenium’ itu
merupakan kek buah dan merupakan kek terberat yang dipersembahkan iaitu
mencecah 100 kilogram.
Kek-kek yang dipersembahkan itu akan dihantar ke rumah anak-anak
yatim dan untuk dinikmati golongan kurang bernasib baik di sekitar ibu
negara.
Persembahan kek merupakan antara acara yang diadakan pada setiap kali sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong. – BERNAMA