YDP Agong Hadir Mesyuarat Ke-238 Majlis Raja-Raja Hari Ini


KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini berkenan hadir Mesyuarat Ke-238 Majlis Raja-Raja, yang berlangsung untuk hari kedua di Istana Negara di sini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mesyuarat itu, yang bermula semalam, dipengerusikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dihadiri semua Raja Melayu kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Sri Temenggong, Raja Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud manakala Johor diwakili Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim.

Kesemua Yang Dipertua Negeri turut hadir ke mesyuarat itu.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi menteri besar masing-masing kecuali Perak diwakili anggota Exco Datuk Saarani Mohamad.

Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak diiringi ketua menteri masing-masing. – BERNAMA